BURNLEY 1 ISTANBUL BASAKSEHIR 0
(Burnley mara dengan agregat 1-0)

Burnley menghampiri peringkat kumpulan Liga Europa selepas jaringan Jack Cork pada masa tambahan memastikan mereka menumpaskan Istanbul Basaksehir 1-0 secara agregat awal pagi tadi untuk menempah pertemuan dengan Olympiacos.


Buat kali kedua berturut-turut, anak buah Sean Dyche itu memerlukan masa tambahan di Turf Moor dan seperti yang dilakukannya terhadap Aberdeen, Cork menemui sentuhan pada masa tambahan.

Burnley, yang kembali ke kancah Eropah selepas menyepi selama 50 tahun, kini akan menghadapi pasukan yang lebih berpengalaman di Eropah, Olympiacos, untuk merebut tempat dalam salah satu daripada 12 kumpulan.

Skuad bimbingan Dyche itu gagal menghadirkan ancaman apabila buntu tanpa jaringan dalam aksi di Stadium Fatih Terim, namun bermula garang di laman sendiri yang menyaksikan Ashley Barnes terlebih dahulu melepaskan rembatan mengenai jaring tepi gawang manakala Phil Bardsley dan Aaron Lennon turut menguji Mert Gunok.

Basaksehir akhirnya terjaga daripada lena lalu menuntut ketangkasan Joe Hart untuk mematahkan percubaan Edin Visca, Kerim Frei dan bekas rakan sepasukan di Manchester City, Gael Clichy.

Barnes terlepas peluang untuk meredakan ketegangan pasukan selepas rehat apabila terlepas peluang dari jarak dekat biarpun kemudiannya didapati ofsaid.

Emmanuel Adebayor dimasukkan dalam usaha Basaksehir mengelak masa tambahan tetapi bekas penyerang Real Madrid itu melepaskan satu peluang menarik.

Selepas itu, Burnley meminta penalti susulan bola didakwa terkena tangan lawan, namun buat kali ketiga berturut-turut, mereka gagal mengelak daripada mengharungi aksi selepas 90 minit permainan.

Tujuh minit memasuki masa tambahan, Cork akhirnya memecahkan kebuntuan dengan merembat kencang umpanan Jeff Hendrick ke sudut atas.

Adebayor terlepas dua peluang menarik menerusi tandukan pada sisa permainan manakala Hart membuat aksi menyelamat terakhir dengan menyekat percubaan Visca, untuk Burnley meneruskan kemaraan.