RENNES 1 PSG 3

Paris Saint-Germain (PSG) bangkit daripada kekalahan Liga Juara-Juara Eropah di tangan Liverpool dengan menundukkan Rennes 3-1 dalam saingan Ligue 1, awal pagi tadi.


Skuad kendalian Thomas Tuchel itu beraksi tanpa Kylian Mbappe yang digantung perlawanan dan dikejutkan dengan gol awal tuan rumah di Roazhon Park, namun Angel Di Maria menyamakan kedudukan dalam babak pertama.

Selepas memberi tekanan selepas sejam perlawanan, Thomas Meunier mengejutkan tuan rumah setelah Edinson Cavani menyaksikan gol yang dijaringkan dibatal dalam babak pertama, melepaskan dua peluang keemasan.

Bekas pemain PSG, Hatem Ben Arfa, memberikan sedikit harapan buat Rennes dengan permainan menarik tetapi PSG mengesahkan kemenangan keenam berturut-turut dalam liga menerusi pemain gantian, Eric Maxim Choupo-Moting.

Rennes bermula garang dan kesilapan Marquinhos membolehkan Clement Grenier menyambut gerakan James Lea Siliki selepas 10 minit permainan tetapi pertahanan Brazil itu mengeluarkan bola di atas garisan gol.

Namun, tuah tidak menyebelahi PSG apabila sepakan sudut Grenier melencong terkena bahu Adrien Rabiot dan masuk ke gawang, seminit kemudian.

Cavani menyaksikan jaringannya dibatalkan akibat ofsaid tetapi gerakan berpunca daripada Julian Draxler memberikan Di Maria ruang untuk menyamakan kedudukan dari jarak 20 ela pada minit ke-45.

Cavani seharusnya meletakkan PSG di depan pada permulaan babak kedua, namun usaha penyerang Uruguay itu sekadar singgah ke palang sebelum dia gagal menyudahkan bola muntah.

Meunier tidak melakukan kesilapan pada minit ke-61 selepas menyambut bola daripada Neymar -- yang memberikan jersi kepada peminat muda yang masuk ke dalam padang selepas tamat perlawanan -- sebelum melepaskan rembatan rendah melepasi Tomas Koubek.

Meunier terus cemerlang, apabila membuka ruang buat Choupo-Moting meraih gol pertama di pentas Ligue 1, sekali gus memberikan kelebihan lima mata buat PSG di puncak liga.