Real Madrid perlu membenarkan Gareth Bale untuk dipinjamkan, kata bekas presiden kelab itu, Ramon Calderon.

Bale seakan-akan tidak diperlukan sebaik Zinedine Zidane kembali menerajui kelab itu Mac lalu.

Bagaimanapun, dengan gajinya yang besar -- dilaporkan setinggi £350,000 (RM1.84 juta) seminggu -- bermakna hanya sebahagian kelab mampu menanggung bintang Wales berkenaan.

Madrid sedang berbelanja besar untuk memperkuatkan pasukannya dengan pertahanan kiri Perancis, Ferland Mandy, merupakan pemain terbaru yang ditandatangani bagi menyertai Eden Hazard, Luka Jovic dan Eder Militao di Santiago Bernabeu.

Manchester United telah lama dikaitkan dengan Bale, namun laporan mendapati kelab Liga Perdana Inggeris itu tidak lagi berminat untuk mendapatkan pemain berkenaan.

Calderon, bagaimanapun, berasakan perjanjian pinjaman amat bersesuaian buat Madrid dan Bale, yang didatangkan dengan rekod perpindahan termahal £85 juta (RM 448.7 juta) daripada Tottenham Hotspur pada 2013.

"Situasinya amat sukar," katanya kepada Sky Sports.

"Sudah jelas Zidane tidak mahukannya.

"Dia membuktikannya dengan tidak menyenaraikan Bale dalam kesebelasan utama musim lalu.

"Ia pasti amat mengecewakan buat pemain sepertinya.

"Juga masalah mengenai yuran perpindahan. Real Madrid mahu mendapatkan banyak wang daripadanya, namun saya berasakan ia amat sukar.

"Mungkin perkara terbaik untuk semua pihak ialah pinjaman.

"Pemain itu dapat mengembalikan keyakinannya dan Real Madrid juga dapat meningkatkan nilainya.

"Dia tidak berjaya di sini sepanjang beberapa musim lalu. Kecederaan dan faktor wang.

"Ketika dia tiba di sini, kami membayarnya lebih tinggi daripada Cristiano (Ronaldo).

"Ramai beranggapan dia perlu lebih baik berbanding Cristiano, namun ia amat sukar," katanya.

Hazard merupakan pemain 'Galactico' terbaru yang ditandatangani Madrid dengan bintang Belgium itu diperkenalkan kelab berkenaan, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, Calderon tidak berasakan Hazard, yang menyertai pasukan itu daripada Chelsea dengan perpindahan dilaporkan bernilai £150 juta (RM791.8 juta), mampu menjadi pengganti Ronaldo.

"Hazard pemain yang hebat, namun Cristiano seorang yang unik.

"Saya tidak pernah lihat atau jumpa pemain seperti itu.

"Hazard amat berbakat dan berkemahiran tinggi. Dia telah membuktikannya dalam liga terhebat di dunia, iaitu Liga Perdana.

"Dia boleh bermain di kedua-dua bahagian sayap, mampu menggelecek dengan baik dengan hantaran yang luar biasa.

"Dia boleh beraksi di pelbagai posisi, pemain tengah menyerang, sayap dan juga nombor sembilan, jadi ia peluang yang luar biasa," tambahnya.