REAL MADRID 2 ESPANYOL 0

Pertahanan Real Madrid, Raphael Varane, memuji kesabaran rakan sepasukannya selepas kemenangan 2-0 ke atas Espanyol.


Madrid menyamakan kedudukan dengan pencabar trofi LaLiga, Barcelona, dengan kemenangan selesa 2-0 menerusi Varane dan tonggak Perancis, Karim Benzema, awal pagi tadi.

Pasukan bimbingan Zinedine Zidane itu memperoleh mata penuh meskipun beraksi dengan 10 pemain selepas Ferland Mendy dibuang padang pada minit ke-82.

"Ia perlawanan sengit dengan pasukan lawan yang banyak berlari dan memberikan kami tekanan," katanya kepada Real Madrid TV.

"Kami perlu kuat dan mantap di bahagian benteng agar tidak dibolosi dan bersabar di depan gawang. Ia adalah perlawanan yang baik daripada pasukan.

"Selepas kad kuning kedua ke atas Mendy, kami mengendalikan baki tempoh permainan dengan baik. Kami dapat mengelak daripada dibolosi dan ia sesuatu yang sangat bagus.

"Kami bermain dengan lebih yakin, di tahap fizikal yang baik dan dengan pasukan yang dinamik.

"Kami harus meneruskannya memandangkan kami akan berdepan beberapa perlawanan yang sukar bagi menamatkan tahun ini dan kami akan mengerahkan segala-galanya."

Pemain tengah Madrid, Federico Valverde, pula menganggap sentuhan Madrid berbisa apabila memanfaatkan peluang dalam perlawanan baru-baru ini.

"Kami menterjemahkan peluang yang ada dan menikmati bermain bersama," katanya. "Sokongan peminat membantu kami untuk maju.

"Pengurus meminta kami untuk mendapatkan gol dan memasuki kawasan penalti. Saya cuba melakukannya dan sebagai sebuah pasukan, kami melakukannya dengan baik."