Real Madrid dan Barcelona berhasrat menandatangani Milan Skriniar, kata ejen pertahanan Inter Milan itu, Mithat Halis.

Skriniar meninggalkan Sampdoria untuk menyertai satu lagi kelab Serie A, Inter, pada 2017 dan pertahanan Slovakia itu mengesahkan statusnya sebagai salah seorang pertahanan terbaik dunia.

Pemain berusia 24 tahun itu sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke kelab gergasi England, Manchester United, namun dia mungkin akan menyertai Madrid atau juara bertahan LaLiga, Barca, akhir musim ini.

"Real Madrid mahu mendapatkannya, begitu juga Barca. Jika mereka berjaya meyakinkan Inter, mereka mungkin akan mendapatkan khidmat Skriniar musim panas nanti," kata Halis.

"Skriniar sangat profesional. Jika Madrid benar-benar mahukannya, mereka akan cuba tetapi ramai ejen yang cuba memanipulasi keadaan dan menghantar pemain ke kelab yang mereka sendiri mahu, bukan pemain.

"Sebagai contoh, Mino Raiola -- yang mewakili Paul Pogba dan Zlatan Ibrahimovic -- mahu melakukan perkara sebegitu. Raiola mahu mengelirukan Skriniar tetapi pemain itu telah terikat dengan kami.

"Inter membayar EUR28 juta (RM128 juta), termasuk bonus untuknya, dan enam bulan kemudian, Manchester City menawarkan EUR55 juta (RM253 juta). Kini, dia bernilai EUR100 juta (RM460 juta).

"Saya rasa perpindahan akan menjadi rumit disebabkan kerakusan golongan ini yang cuba masuk campur."

Skriniar melakukan 25 penampilan dalam Serie A bersama Inter musim ini dan 33 penampilan bagi semua kejohanan.