Frenkie de Jong berasakan aksi yang lebih sukar ialah ketika berdepan Real Madrid di Santiago Bernabeu selepas Ajax melakar kejutan ke atas Juventus dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara (UCL).

Ajax mengaibkan Real 4-1 di Bernabeu untuk ke suku akhir dan kelab Belanda itu sekali lagi beraksi cemerlang ketika mengatasi Juve 2-1 di Turin, awal pagi tadi.

Jaringan daripada Donny van de Beek dan Matthijs De Ligt menafikan jaringan pembukaan Cristiano Ronaldo, sekali gus membenarkan Ajax menang 3-2 secara agregat ke atas gergasi Serie A itu.

Pemain yang bakal menyertai Barcelona, De Jong, berkata Ajax berdepan lawan lebih sukar di Madrid, selepas tewas dalam aksi pertama 2-1 kepada penyandang juara itu.

"Saya tidak pasti sama ada ia merupakan perlawanan terbaik dalam hidup kami tetapi ia berjalan dengan lancar," kata De Jong. "Kami menghadapi kesukaran di Madrid kerana tewas dalam aksi pertama.

"Juve sangat kuat, berdisiplin, kami menunjukkan kebolehan kami dalam separuh masa kedua. Jurulatih telah meminta kami melakukan perkara yang sama, memberikan tekanan dan mengawal permainan.

"Menangi UCL? Kami melangkah ke separuh akhir, kami memiliki peluang tetapi bukan pasukan pilihan."

Ajax bakal berdepan Tottenham atau Manchester City dalam separuh akhir.