Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menolak rayuan presiden Persatuan Bolasepak Palestin berkenaan penggantungan 12 bulan selepas "menghasut kebencian dan keganasan" terhadap Lionel Messi.

Menjelang perlawanan persahabatan pra-Piala Dunia di antara Argentina dan Israel pada Jun 2018, Jibril Rajoub mengeluarkan kenyataan berkenaan perlawanan itu yang dikaitkan dengan ketegangan politik di antara Israel dan Palestin.

Perlawanan itu sepatutnya berlangsung di Stadium Teddy, Baitulmaqdis, sebuah gelanggang yang didirikan di tanah milik Palestin sebelum dimusnahkan pada 1948.

Rajoub menggesa peminat untuk menjadikan Messi sebagai sasaran dan membakar jersi dengan nama bintang Barcelona itu sebelum perlawanan berkenaan dibatalkan.

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menerima laporan daripada Persatuan Bolasepak Israel dan Rajoub dikenakan penggantungan 12 bulan daripada sebarang perlawanan di setiap peringkat hingga Ogos 2019 selain turut didenda €18,056 (RM83,524).

Rayuan yang dikemukakannya ditolak FIFA September lalu, dua bulan sebelum beliau membawa kes tersebut ke CAS.

Rajoub sekali lagi gagal memenangi kes itu dengan panel CAS mendapati beliau "gagal untuk membuktikan apa-apa pelanggaran prosedur dalam prosiding yang dilakukan jawatankuasa disiplin FIFA" untuk membenarkan pembatalan terhadap keputusan itu.

CAS dalam kenyataannya menambah: "Oleh itu, panel CAS menolak rayuan itu dan mengesahkan keputusan jawatankuasa FIFA pada 24 September 2018."