Setiausaha Agung, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John, menyarankan setiap ahli gabungan, termasuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), agar memainkan peranan lebih proaktif dalam menangani kes doping pemain.

Walaupun kes doping membabitkan pemain bola sepak dalam saingan peringkat AFC berada pada kadar rendah, kes membabitkan penjaga gol skuad bawah 23 tahun negara, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, perlu dijadikan iktbar.

Pemain perlu jelas mengenai pengambilan bahan tambahan dan persatuan bola sepak sesebuah negara perlu memberi didikan awal, bermula dalam saingan domestik.

"Pemain kebanyakan masanya bermain dalam liga tempatan. Proses dan prosedur perlu diselesaikan dalam kejohanan tempatan.

"Ini membantu kami atau pemain untuk memberi satu tahap yang tinggi dalam pemantauan doping ini," katanya.

Mengenai sampel B Syihan, Windsor mengesahkan AFC juga masih menanti keputusan dari makmal di Changshu, China dan kelewatan keputusan itu adalah disebabkan musim perayaan Tahun Baru Cina di sana.

Dalam perkembngan lain, Windsor mengakui badan bola sepak Asia itu turut memantau perkembangan kes rasuah bola sepak membabitkan dua pemain Sarawak yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kalau sesebuah kelab atau pasukan negeri menggantung pemain dan mereka mahu pemain ini digantung lebih daripada (peringkat) Malaysia, mereka harus memberitahu kami.

"Ia juga penting bagi kami sebab kami pun ingin tahu siapa yang terlibat atau seseorang itu dalam rangkaian kami. Kami juga memerlukan laporan. Ia bukan mengenai Sarawak tetapi Asia," katanya lagi.

Pada 6 Februari lalu, Syihan didapati positif metabolite methandienone, sejenis bahan menguatkan otot.

Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) kemudian melarang pemain itu beraksi bersama pasukannya, Negeri Sembilan, sebelum membuat keputusan menggantungnya sementara selama 60 hari.