Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif, Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) bagi sesi 2018-2022 pada 18 November ini dijangka panas selepas kegagalan Datuk Mohd Rashid Hasnon bertanding jawatan presiden.

Rashid tidak memperoleh cukup pencalonan apabila sekadar mendapat 12 daripada 31 ahli gabungan, kurang daripada jumlah 40 peratus pencalonan minimum untuk layak bertanding.

Situasi itu meletakkan penyandang, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan, menang tanpa bertanding ekoran memperoleh 18 pencalonan, namun angka itu dipertikai oleh Rashid yang mendakwa meraih sokongan 16 ahli gabungan.

"Daripada sokongan 16 ahli gabungan, hanya 12 disahkan. Bagaimana perkara ini boleh berlaku?

"Seharusnya setiap borang yang diterima hanya boleh dibuka selepas tamat tempoh untuk melakukan pemilihan," kata Rashid.

Selain itu, beliau hairan kenapa tiada badan berkecuali menguruskan pemilihan kali ini sepertimana diperuntukkan dalam Artikel 21 (6).

Menurutnya, Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa, tidak boleh menguruskan pemilihan itu kerana beliau turut bertanding bagi jawatan ahli jawatankuasa eksekutif.

"Saya seorang yang mengikut peraturan dan saya mahu memperbetulkan cara pemilihan dalam KLFA. Sebuah jawatankuasa khas yang bersifat bebas (sepatutnya) menguruskan pemilihan ini."