Marcus Rashford akan kembali ke Manchester United untuk rawatan susulan selepas diketepikan daripada skuad England menjelang saingan kelayakan Euro 2020 gara-gara kecederaan.

England, yang dibimbing Gareth Southgate dan layak ke separuh akhir Piala Dunia 2018, bakal memulakan kempen kelayakan Euro 2020 dengan menentang Republik Czech awal pagi esok sebelum meneruskan aksi berdepan Montenegro.

Bagaimanapun, Rashford terpaksa diketepikan akibat masalah di bahagian buku lali.

"Dia bersama pasukan perubatan sepanjang minggu. Kami cuba untuk meningkatkan latihan buatnya tetapi jelas sekali dia tidak mampu bersedia untuk perlawanan, jadi dia akan terlepas dua aksi dan kembali bersama kelab," kata Southgate.

Ketiadaan Rashford dilihat memberi tamparan buat England selepas penyerang berusia 21 tahun itu mengesahkan dirinya selaku pilihan utama di barisan depan United sejak kehadiran pengurus sementara, Ole Gunnar Solskjaer.

Dia menyumbat 12 gol dalam semua kejohanan musim ini, termasuk sepakan penalti saat-saat akhir ketika membantu United mengatasi Paris Saint-Germain (PSG) untuk layak ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Sekiranya ada penggempur lain yang mengalami kecederaan ketika berdepan Republik Czech, Southgate tidak menolak akan memanggil penyerang lain bagi menghadapi cabaran Montenegro.

Namun, dia menegaskan pemain itu harus berada dalam sistem skuad The Three Lions.

"Kami akan lihat selepas perlawanan awal pagi esok.

"Ketika ini, itu bukan tujuan kami tetapi jika kami kehilangan mana-mana pemain, kami akan melakukannya."