Rashford: Potensi Greenword pasti akan 'meletup' tidak lama lagi 

Oleh Staff Writer 20 September 2019
Rashford: Potensi Greenword pasti akan 'meletup' tidak lama lagi 
MANCHESTER UNITED 1 ASTANA 0 

Marcus Rashford menegaskan akan ada lebih banyak potensi lagi yang akan ditawarkan wira Manchester United dalam kemenangan ke atas Astana, Mason Greenwood, tidak lama lagi berbanding jangkaan awal. 


United mempamerkan persembahan kurang mantap dalam kempen pembukaan Liga Europa apabila menang tipis 1-0 di Old Trafford, awal pagi tadi.

Pengurus, Ole Gunnar Solskjaer, meletakkan Greenwood dalam kesebelasan utama, termasuk Angel Gomes dan Tahith Chong di bahagian serangan di samping Rashford.

Greenwood meledak gol tunggal perlawanan apabila menyerlahkan kelincahan dalam babak kedua untuk memberi kelegaaan buat penyokong tuan rumah.

Ia merupakan gol pertamanya di peringkat senior, justeru pemain berusia 17 tahun itu dianggap sebagai bintang dalam ciptaan United.

Sehubungan itu, Rashford percaya pemain muda berkenaan sudah bersedia untuk membuktikan kemampuannya dan bukan sekadar sebagai pemain muda yang berpotensi.

Rashford berkata kepada pemberita: "Bagi saya, orang akan mengatakan dia mempunyai potensi pada masa depan tetapi jika mereka dapat melihat betapa dia bekerja keras -- saya telah menyaksikan kegigihan Mason, Chongy dan Angel -- jadi masa depan untuk mereka menyinar mungkin sangat dekat.

"Kami semua perlu terus bekerja keras dan mereka akan mencapai apa yang dihajati."

Greenwood telah membuat empat penampilan sebagai pemain gantian dalam Liga Perdana dan kadang-kadang kelihatan agak gugup.

Dia bergelut untuk membawa kesan besar dalam separuh masa pertama, namun Rashford menolak cadangan bahawa pemain itu bermain di bawah tekanan untuk menyerlah pada usia seperti itu.

"Saya tidak akan mengatakan bahawa mereka sedang terbeban," kata Rashford. "Bagi pemain muda yang lahir daripada akademi ini, beban itu tidak wujud buat mereka kerana mereka telah belajar untuk menangani semua itu melalui karier mereka.

"Sejak berusia sembilan tahun lagi, mereka sudah didedahkan setiap kali menentang akademi lain. Man United merupakan perlawanan paling mustahak buat mereka, jadi mereka mencurahkan segala kudrat. 

"Mereka sudah terbiasa dengan tekanan untuk memenangi perlawanan. maka adalah sesuatu yang tidak mengejutkan bagi saya untuk melihat pemain muda dapat melakukannya dengan baik.

"Mason mencetak jaringan, Angel pula bermain dengan baik. Chongy juga bermain bagus dalam babak pertama tetapi agak bergelut dalam separuh masa kedua. 

"Berikutan etika mereka ketika melaksanakan tugasan, saya tiada keraguan bahawa kita akan terus menyaksikan peningkatan mereka. Sejak mereka menyertai skuad utama, mereka sentiasa bertambah baik.

"Bagi saya yang pernah berada di tempat Greenwood pada masa lalu, untuk menjaringkan gol seperti itu, saya tahu bagaimana perasaannya.

"Malah, apa yang lebih penting lagi adalah jaringannya membantu kemenangan kami, itulah yang akan menjadi bualan orang ramai. 

"Mason telah beraksi dengan baik sejak menyertai skuad utama dan saya 100 peratus yakin masih banyak yang akan ditawarkannya. Sudah pasti dia berasa teruja, begitu juga dengan yang lain."









 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen