Aaron Ramsey berkata dia sangat bangga selepas melakukan penampilan pertama buat Juventus dalam aksi persahabatan menentang Triestina.

Ramsey tampil buat kali pertama buat juara Serie A itu sejak meninggalkan Arsenal secara percuma di penghujung musim 2018-19 tatkala pemain tengah Wales itu masuk selaku pemain gantian dalam perlawanan yang berakhir dengan kemenangan 1-0 itu.

Pemain berusia 28 tahun itu berehat selepas mengalami kecederaan paha sejak April lalu tetapi dia menggantikan Federico Bernardeschi dalam 20 minit terakhir di Stadium Nereo Rocco di mana Paulo Dybala menyumbat gol kemenangan pada minit ke-38.

"Saya rasa bagus. Saya melalui proses pemulihan yang bagus, jadi diharapkan saya kekal cergas dan sihat untuk membantu pasukan sebanyak yang boleh," katanya semalam.

"Saya sangat gembira menjadi sebahagian daripada bola sepak Itali dan melalui pengalaman di sini. Kami akan bermula Sabtu depan, jadi saya tidak sabar untuknya bagi melalui perlawanan pertama. Saya tidak sabar.

"Ia satu detik yang membanggakan buat saya menyarung jersi pasukan ini. Saya gembira dapat turun beberapa minit malam ini. Saya bekerja keras untuk kembali cergas dan diharapkan saya dapat mengekalkannya. Saya kini bagus secara fizikal.

"Saya sudah bekerja keras dan sedar masih belum dapat beraksi sebelum malam ini tetapi saya rasa bagus secara fizikal. Ia memerlukan masa.

"Saya rasa saya telah mengharungi pramusim yang baik. Kami menerima pengendali baru yang memberikan idea dan kami menyesuaikan diri dengannya. Saya rasa pasukan kini berada dalam keadaan terbaik dan diharapkan kami melalui musim yang cemerlang.

"Kami bekerja keras dalam sesetengah taktikal dan saya rasa (Maurizio) Sarri mahu melakukan yang terbaik buat pasukan. Kami harus lakukannya dalam latihan beberapa kali dan kami yakin."