Sergio Ramos membidas kembali Diego Maradona sambil melabel Lionel Messi sebagai pemain terbaik dalam sejarah Argentina.

Kapten Sepanyol itu bertindak balas terhadap dakwaan jurulatih berusia 57 tahun itu, awal minggu ini, yang mengatakan pertahanan Real Madrid itu tidak setaraf dengan pesaingnya di Atletico Madrid, Diego Godin.

Ramos, 32, meluahkan kenyataan itu selepas Sepanyol menang 1-0 ke atas Iran dalam aksi Piala Dunia Russia awal pagi tadi dan menegaskan seterunya dari Barcelona itu jauh lebih hebat daripada Maradona.

"Di Argentina, mereka tahu bahawa Maradona jauh ketinggalan sebagai pemain terbaik dalam sejarah Argentina berbanding Lionel Messi," katanya.

Kemenangan ke atas Iran membolehkan Sepanyol berkongsi kedudukan dengan Portugal di puncak Kumpulan B dengan baki satu perlawanan di peringkat kumpulan, namun Ramos bersikap tenang mengenai kedudukan mereka.

"Mereka (Iran) beraksi dengan cara melengah-lengahkan masa sedangkan kami ingin menang dengan cara yang berbeza," katanya.

"Kami mengakhiri perlawanan dengan kegembiraan, kami telah mengambil satu lagi langkah ke hadapan dan sekarang, kami perlu berusaha untuk menjuarai kumpulan, itu matlamat kami.

"Saya fikir bahawa kami masih boleh memperbaiki semua aspek," tambahnya.

Sepanyol akan berdepan Maghribi dalam perlawanan terakhir kumpulan di Stadium Kaliningrad, Selasa depan.