Pemain tengah Croatia, Ivan Rakitic, menjangkakan rakan sepasukannya di Barcelona, ​​Lionel Messi, lebih bermotivasi memjelang pertemuan dengan Argentina dalam Piala Dunia 2018, awal pagi esok.

Messi berdepan kritikan hebat selepas Argentina hanya seri 1-1 dengan Iceland dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D menakala penaltinya pula diselamatkan dalam babak kedua.

Kegagalan untuk menewaskan Croatia di Nizhny Novgorod akan memberi tamparan hebat kepada pasukan kendalian Jorge Sampaoli itu dalam usaha mereka untuk mencapai keputusan lebih baik daripada 2014 yang menyaksikan mereka tewas kepada Jerman dalam final.

Begitupun, Rakitic menegaskan kesemua rakan sepasukannya berbangga selain bertekad untuk membawa negara itu ke landasan kejayaan berbanding Messi.

"Saya menganggapnya kini lebih bermotivasi," katanya dalam sidang akhbar. "Apabila dia menyarung jersi Argentina, dia mengukir senyuman istimewa di wajahnya. Saya tidak fikir ada pemain yang lebih bangga daripadanya untuk menyarung jersi negara.

"Saya menghargainya sebagai manusia dan pemain, saya telah menyaksikan caranya beberapa minggu yang lalu, dia telah mencurahkan segala-galanya dan dia berhak dihormati."

Rakitic mengakui tidak banyak rahsia mengenai Messi boleh dikongsikan bersama rakan senegaranya dalam usaha merantai pemain handalan itu.

"Apa yang boleh saya katakan kepada mereka atau seluruh dunia mengenai perkara yang orang tidak tahu tentang Messi?" katanya. "Messi adalah salah seorang pemain terbaik di dunia dan dia akan mempunyai detik-detiknya. Jadi, terpulang kepada kami bagaimana untuk menyekatnya tetapi melalui permainan yang betul dan menikmati perlawanan."

Rakitic membandingkan Messi dengan Luka Modric -- satu penghormatan untuk bermain di sampingnya dalam pasukan kebangsaan.

"Ia merupakan satu keistimewaan untuk bermain di samping kedua-duanya," katanya. "Mereka sangat berbeza dengan gaya mereka. Leo sangat penting di Barca, pemain yang paling penting, dia bermain di bahagian hadapan dengan penuh fleksibiliti. Begitu juga dengan Modric. Dia adalah kapten kami, dia adalah karakter dan dia mengetuai kami.

"Sekiranya saya berkesempatan memilih kesebelasan utama, saya akan membariskan kedua-duanya dalam pasukan saya, saya bangga bermain dengan pemain seperti mereka. Saya ulangi lagi: Bagi saya, Leo Messi adalah pemain terbaik sepanjang zaman dan saya harap dia beraksi selagi dia mahukan. "

Dalam masa sama, bahagian tengah Croatia digambarkan sebagai salah satu yang paling ampuh dalam pusingan akhir, sesuatu yang Rakitic bangga untuk dikongsikan.

"Terima kasih kerana pujian hebat!" tambahnya. "Kami cuba menjadi kuat sebagai sebuah unit. Kami mahu memastikan dapat menggerakkan bola dengan lancar dan membantu rakan sepasukan kami.

"Di negara seperti Croatia, sangat istimewa untuk mempunyai ramai pemain handalan di kelab besar dan kami mahu membawa sikap itu di dalam pasukan kebangsaan, kami berharap kami dapat melakukannya.

"Dengan bersatu padu, kami akan menjadikan perkara lebih mudah untuk diri sendiri," katanya lagi.