Ivan Rakitic berminat untuk kekal di Barcelona tetapi bersikap terbuka apabila terus dikaitkan dengan perpindahan.

Kontrak pemain Croatia itu di Camp Nou masih bersisa dua tahun dan khidmatnya dilaporkan telah ditawarkan kepada Paris Saint-Germain (PSG) sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran yang akan membawa Neymar kembali ke Barca.

Inter juga dikatakan memantau perkembangan pemain berusia 31 tahun itu dan meskipun Rakitic tidak berniat untuk mencari jalan keluar daripada Barcelona, namun dia bersedia untuk mempertimbangkan tawaran yang tepat.

"Hasrat saya sangat jelas, saya mahu kekal di Barca. Situasi seperti ini kerap berlaku, sama seperti tahun lalu," kata Rakitic dalam sidang media menjelang pertemuan Barcelona dengan Chelsea, hari ini.

"Saya telah bercakap dengan kelab dan jurulatih, kami mempunyai pandangan yang sama -- untuk melihat saya kekal di Barca. Seperti biasa, kami terbuka kepada segala idea tetapi saya mahu kekal.

"Saya mempunyai dua tahun kontrak lagi di sini dan saya mahu terus menikmati permainan di Barca.

"Situasi ini tidak mengganggu saya. Saya sedar beginilah kehidupan bola sepak dan ia membuatkan saya bangga kerana jika ada pasukan lain yang mahukan saya, itu bermakna saya telah melaksanakan tugas yang sangat baik. Jadi, saya tenang dalam situasi ini."