Presiden FIFA, Gianni Infantino, waspada dengan penggunaan Rakaman Video Bantuan Pengadil (VARS) susulan keputusan kontroversi menghadiahkan sepakan penalti kepada Luis Suarez dalam kemenangan Barcelona dalam kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara, kelmarin.

Diinspirasikan oleh Neymar, Barcelona meledak tiga gol bermula pada minit ke-88 di Camp Nou untuk melengkapkan kebangkitan paling epik dalam sejarah bola sepak Eropah dengan kemenangan agregat 6-5 ke atas Paris Saint-Germain (PSG).

Bagaimanapun, kebangkitan dramatik Barca turut termasuk dengan penalti kontroversi yang disempurnakan Neymar untuk gol kelima perlawanan dalam kemenangan 6-1, malam itu.

Ulang tayang menunjukkan Suarez merebahkan badannya meskipun tiada bentesan oleh pertahanan PSG, Marquinhos, sehingga mencetuskan kemarahan pengendali, Unai Emery, yang mengkritik pengadil, Deniz Aytekin, dalam sidang media.

FIFA telah pun memulakan percubaan terhadap penggunaan VARS tetapi Infantino menegaskan keputusan oleh Aytekin untuk menganugerahkan sepakan penalti, adalah tidak jelas.

"Sama ada kes itu adil atau tidak, kita serahkan kepada penentuan pengadil," Infantino memberitahu wartawan pada Khamis.

"Apa yang kami saksikan adalah satu perlawanan yang hebat, tidak kira apa pun keptusan di akhir perlawanan. Ini membuktikan bola sepak sukan yang hebat.

"Kami perlu berhati-hati jika mahu melaksanakan sesuatu yang menyentuh peraturan bola sepak.

"Dalam kes ini, saya tidak tahu sama ada ia kesilapan pengadil tetapi pada masa akan datang, penggunaan video mampu membetulkan perkara ini agar kami boleh memastikan perlawanan penting tidak akan ditentukan oleh kesilapan pengadil."