Pengendali Perancis, Didier Deschamps, berpendapat Adrien Rabiot telah melakukan kesilapan besar apabila meminta dirinya dikeluarkan daripada senarai menunggu untuk skuad Piala Dunia 2018.

Pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG) itu, yang telah melakukan enam penampilan dalam skuad kebangsaan, tidak dapat meraih perhatian untuk pemilihan 23 pemain, tatkala pemain Sevilla, Steven N'Zonzi, menjadi pilihan.

Rabiot sebelum ini menyuarakan pendapat mengenai dirinya yang tidak gemar untuk membiasakan diri dengan peranan lebih ke bawah dalam skuad kebangsaan, namun tetap diletakkan dalam senarai menunggu sebelum meminta untuk dikeluarkan.

Ketika sidang media semalam, Deschamps menjelaskan situasi sebenar sebaik sahaja pihak Persatuan Bolasepak Perancis menyatakan rasa terkejut atas tindakan itu.

"Ia bukan melalui surat tetapi satu e-mel yang tiba pada lewat tengahari Isnin. Saya jelas dengan isi kandungannya dan Rabiot menandatanganinya," kata Deschamps.

"Saya menghubunginya untuk memastikan ia benar-benar tandatangan daripadanya tetapi tidak berjawab. Saya menerima pengesahan daripada pengurus saya. Dalam proses itu, saya memberikan amaran buat presiden pasukan dan juga presiden PSG kerana mereka majikannya.

"Sudah tentu saya terkejut. Saya faham tentang kekecewaan tetapi untuk mengambil tindakan sebegitu, kami sedang bercakap tentang seorang pemain muda yang pernah mewakili Perancis dan dia mengeluarkan dirinya daripada pasukan.

"Saya tidak pasti sama ada keputusan sebegini akan membuatkannya menjadi lebih matang dan saya juga yakin dia telah melakukan kesilapan besar."

Perancis menjadi salah satu pasukan pilihan dalam saingan Piala Dunia 2018, namun harus terlebih dahulu berdepan cabaran Australia, Peru dan Denmark di peringkat kumpulan.