Qatar menunjukkan perkembangan mengagumkan daripada segi infrastuktur sebagai hos Piala Dunia 2022 apabila menyediakan 41 padang latihan baru serba canggih untuk digunakan ketika acara bola sepak terbesar dunia itu nanti.

Pusat latihan yang dibina untuk Piala Dunia 2022 itu kini berada di landasan tepat untuk disiapkan sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Beberapa padang latihan sudah diuji Disember tahun lalu dan skuad kebangsaan Palestin serta Kazakhstan antara yang telah diberi peluang mengujinya.

Dibina mengikut syarat FIFA, setiap pusat latihan dilengkapi dengan kemudahan seperti bilik persalinan, kolam renang jakuzi, bilik urut dan ruang untuk analisis video.

“Kami sudah menyiapkan 41 padang latihan berserta kemudahan yang diperlukan setiap pasukan yang hadir ke Qatar. Ia juga termasuk naik taraf untuk pusat latihan di Universiti Qatar,” ujar Pengurus Besar Tapak Latihan Qatar 2022, Ahmed Hassan Al-Obaidly.

Pusat latihan itu bukan sahaja digunakan untuk pasukan ketika Piala Dunia, malah turut menawarkan peluang kepada masyarakat setempat selepas kejohanan.

Terdahulu, media jemputan daripada beberapa negara diberi peluang untuk melawat venue pusat latihan di Universiti Qatar semalam.