Qatar memberi keyakinan bahawa penganjuran Piala Dunia 2022 berupaya berjalan lancar menerusi sistem kereta api buat semua penyokong yang bakal hadir dan akan membanjiri negara itu nanti.

Sistem kereta api laluan merah selatan adalah sebahagian daripada projek infrastruktur yang diumumkan kerajaan dan ia dijangka beroperasi dalam tempoh dua tahun sebelum kejohanan berlangsung.

Keseluruhan laluan menghubungkan Stadium Al-Janoub ke Stadium Lusail sambil ia juga akan dihubungkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di tengah bandar Doha.

Apabila ia siap sepenuhnya tahun depan, sistem kereta api itu akan memiliki tiga laluan, iaitu merah, hijau dan emas membabitkan 37 stesen.

"Setelah enam tahun pembinaan kereta api bawah tanah yang diberi nama Doha Metro Red Line, ia telah dirasmikan beberapa minggu lalu. Ia diuji dari daerah Al-Wakra ke Al-Qassar.

"Pengangkutan awam itu dijangka akan memudahkan semua pengunjung ketika Piala Dunia 2022 nanti," kata wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam.