Kylian Mbappe akan kekal bersama Paris Saint-Germain (PSG) musim depan, tegas juara Ligue 1 itu, walaupun penggempur Perancis itu mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan persoalan mengenai masa depannya bersama kelab.

Bercakap selepas dinamakan selaku Pemain Terbaik Ligue 1 dan Pemain Muda Terbaik Tahunan semalam, Mbappe berkata: "Ia mungkin detik penuh tanggungjawab. Mungkin di PSG, dengan penuh berbesar hati atau di mana sahaja dengan projek baru. Apapun, terima kasih semua."

Pemenang Piala Dunia itu telah dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid tetapi PSG bertindak memadamkan spekluasi itu menerusi kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman Twitter.

"Spekulasi telah menguatkan Mbappe dan PSG selama dua tahun. Kisah kami akan berterusan musim depan," kata wakil kelab.

"Kami memiliki keinginan sama, mahu mencipta sejarah dalam bola sepak Eropah, terutama di ulang tahun ke-50 PSG. Ia detik terbaik untuk mencipta perkara baru dalam sejarah pasukan.

"Semua orang mengambil bahagian dan ia akan sentiasa menjadi bagus buat pasukan."

Mbappe menyertai PSG secara pinjaman daripada Monaco sebelum melengkapkan perpindahan tetap bernilai EUR180 juta (RM839 juta) pada Ogos 2017.

Sejak itu, dia menyumbat 59 gol dalam semua kejohanan, termasuk 32 jaringan dalam Ligue 1 setakat ini.

Bagaimanapun, jumlah jaringan itu gagal membantu pasukan meraih kejayaan di pentas Liga Juara-Juara, termasuk kekalahan hasil kebangkitan Manchester United dalam pusingan 16 musim ini.