Paris Saint-Germain (PSG) berang dan membantah laporan yang mengatakan juara Ligue 1 itu mungkin terpaksa menjual Neymar atau Kylian Mbappe bagi mengelakkan 'Sekatan Kewangan Fair Play' (FFP).

Semalam, akhbar Perancis, L'Equipe, menerbitkan satu artikel yang mendakwa PSG sedang mempertimbangkan cadangan untuk melepaskan salah seorang aset berharga mereka demi mematuhi peraturan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).

PSG -- yang mencatat rekod dunia dengan bayaran sebanyak €222 juta (RM1 bilion) untuk mendapatkan Neymar pada 2017 sebelum melengkapkan perjanjian dengan Mbappe yang bernilai €180j (RM853.4j) -- dengan segera dan tegas membantah laporan tersebut sambil mereka mempersoalkan motif L'Equipe.

"Dalam satu artikel yang diterbitkan pada petang Jumaat ini di laman sesawangnya, L'Equipe dengan berani mengatakan 'PSG bersedia kehilangan Kylian Mbappe dan Neymar Jr untuk mengelakkan sekatan FFP'," tulis satu kenyataan PSG.

"Selain menafikan maklumat salah ini, ia tidak masuk akal dan hanya bertujuan mengeruhkan hubungan di antara kelab dan media ini, sekali lagi PSG tertanya-tanya tentang tujuan utama L'Equipe dan cara penyuntingan mereka mencetuskan kebimbangan PSG.

"Terdapat banyak contoh bahawa berita seperti ini bertujuan untuk mencetuskan persekitaran yang tidak baik di dalam kelab.

"Kali terakhir mereka melakukannya adalah ketika perlawanan menentang Strasbourg pada awal pagi Khamis lalu. Mereka kononnya memaparkan isu 'Cavani' di muka surat depan.

"Ia sesuatu yang luar biasa apabila melibatkan PSG dalam akhbar harian ini. Ini membuktikan kemasyhuran kelab ini. PSG mempersoalkan tentang tingkah laku L'Equipe dan hierarkinya.

"Empat hari sebelum aksi penting di Belgrade dalam Liga Juara-Juara (UCL), PSG menjemput komunitinya -- para peminat, rakan kongsi, bekas pemain -- untuk bersatu hati dengan barisan pemain, nilai dan cita-cita bahawa kelab ini akan sentiasa bersemangat.

"Sokongan besar daripada peminat kami di rangkaian media sosial dan di stadium memberi kekuatan kepada Neymar, Cavani, Mbappe dan semua pemain.

"Wujud maklumat salah yang diketuai oleh L'Equipe dan desakannya menimbulkan masalah. Sekali lagi, PSG selaku kelab Perancis paling terkenal dan berjaya hanya akan bercakap dengan media yang baik dan sah."

PSG, yang akan melakukan perjalanan UCL ke Red Star Belgrade pada pertengahan minggu nanti, kini mendahului Ligue 1 dengan kelebihan 14 mata selepas seri berturut-turut tempoh hari.