Idrissa Gueye dan Presnel Kimpembe akan berehat panjang selepas mengalami kecederaan ketika menentang Montpellier hujung minggu lalu, demikian disahkan Paris Saint-Germain (PSG).

Pertahanan, Kimpembe, terpaksa dikeluarkan pada minit ke-18 selepas mengalami kecederaan paha kiri dan berkemungkinan tidak akan beraksi hingga awal bulan depan.

Gueye pula hanya bertahan lebih tujuh minit berbanding rakan sepasukannya itu dan terpaksa menunggu 10 hingga 12 hari untuk kembali berlatih selepas turut mengalami kecederaan sama.

Bagaimanapun, ada berita lebih baik mengenai Marco Verratti dan Edinson Cavani.

Verratti, yang diketepikan dalam dua perlawanan terakhir kerana masalah pinggul, sudah mula menyertai latihan penuh awal pagi tadi.

Pemain kebangsaan Uruguay, Cavani, pula dijangka akan kembali menyertai skuad utama esok selepas tidak dapat beraksi ketika pasukannya menewaskan Montpellier 3-1.

Kelab itu turut mengesahkan bahawa bekas pemain tengah Manchester United, Ander Herrera, akan kembali berlatih hujung minggu ini selepas lebih sebulan bergelut dengan kecederaan pinggul.

Skuad kendalian Thomas Tuchel itu akan berdepan Galatasaray dalam Liga Juara-Juara Eropah awal pagi lusa sebelum bertandang ke laman Saint-Etienne bagi perlawanan Ligue 1 hujung minggu ini.