Paris Saint-Germain (PSG) mempunyai pemain yang mampu mengekang Paul Pogba sempena pertembungan Liga Juara-Juara (UCL) dengan Manchester United awal pagi esok, kata Julian Draxler.

Pendahulu Ligue 1 itu menuju ke Old Trafford untuk pertemuan pertama pusingan 16 menentang The Red Devils yang menunjukkan prestasi cemerlang di bawah pengurus sementara, Ole Gunnar Solskjaer.

Kemenangan 3-0 ke atas Fulham hujung minggu lalu merupakan kemenangan ke-10 dalam 11 perlawanan sejak Solskjaer mengambil alih jawatan itu daripada Jose Mourinho, Disember lalu.

Pogba memainkan peranan penting dalam kebangkitan prestasi United yang menyaksikan dua golnya ketika membenam Fulham menokok bilangannya gol yang disumbatnya dalam kempen Liga Perdana musim ini kepada 11 dan ia merupakan catatan terbaiknya dalam semusim.

Begitupun, Draxler yakin bahawa rakan sepasukannya mampu merantai Pogba dengan memberitahu sidang akhbar: "Mereka mempunyai beberapa pemain hebat di Man United, terutama di bahagian tengah dengan adanya Pogba dan (Nemanja) Matic. Mereka akan menjadi kunci kepada perlawanan ini.

"Tetapi kami juga mempunyai kualiti tinggi. Kami lebih daripada sekadar mampu. Kami pernah mengekang Paul dalam perlawanan di antara Jerman dan Perancis.

"Kami akan melihat apa yang akan dilakukannya. Dia mampu melakukan segala-galanya tetapi kami mempunyai pemain yang mampu menyekat Paul," ujarnya.

Pertembungan itu juga menyaksikan Angel Di Maria akan menghadapi kelab lamanya itu buat julung kalinya sejak berkelana ke PSG dengan nilai £44 juta (RM230j) pada 2015.

Dengan Neymar dan Edinson Cavani tercedera, Draxler berharap dia dan Di Maria mampu menghasilkan persembahan yang positif.

"Saya ada bertanya kepadanya beberapa perkara mengenai Man United tetapi saya tidak akan memberitahu anda apa yang dikongsikannya -- itu bukan langkah yang tepat!" ujar Draxler. "Kami memerlukan Di Maria berikutan tanpa Cavani dan Neymar. Semoga dia menyerlahkan prestasi yang baik.

"Saya tidak tahu apakah posisi yang saya akan mainkan tetapi saya selesa untuk menggalas mana-mana posisi sekalipun. Saya bukannya jenis pemain yang sama seperti Neymar dan jelas sekali, kami akan merindui sentuhannya. Saya akan cuba menghasilkan aksi yang hebat. "

Draxler tidak menganggap mana-mana pasukan pun sebagai pilihan tetapi yakin PSG berkemampuan untuk membatalkan sebarang keputusan negatif dalam pertemuan kedua di Parc des Princes, 6 Mac depan.

"Semua orang tahu bahawa kami adalah dua pasukan yang baik," katanya. "Setiap orang perlu bersedia untuk menonton perlawanan ini kerana semua orang ingin menontonnya. Saya tidak tahu sama ada United adalah pilihan ataupun kami. Bagi saya, ia tidak penting.

"Anda tidak akan memenangi perlawanan dengan banyak bercakap sebelum perlawanan. Apa yang berlaku di atas padang adalah paling mustahak.

"Kami menjangkakan United akan mengekalkan rentak permainan baru-baru ini. Namun, semua itu tidak akan diambil kira. Masih ada pertemuan kedua yang akan berlangsung di tempat kami."