Presiden Paris Saint-Germain (PSG), Nasser Al-Khelaifi, bertekad mengakhiri "tingkah laku selebriti" dalam kalangan warga kelab itu dan berharap kepulangan Leonardo sebagai pengarah sukan akan membantunya mencapai hasrat berkenaan.

Leonardo dilantik menggantikan Antero Henrique, Jumaat lalu, untuk menggalas semula jawatan yang pernah disandangnya pada 2011 dan 2013.

Skuad kendalian Thomas Tuchel itu mengekalkan kejuaraan Ligue 1 musim lalu tetapi tersingkir dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) di samping terkandas di peringkat suku akhir Coupe de la Ligue serta tewas kepada Rennes dalam final Coupe de France.

Berikutan kempen kurang memberangsangkan di Parc des Princes musim lalu, Al-Khelaifi menyeru barisan pemain PSG agar mempertimbangkan semula pendekatan mereka.

"Pemain perlu menganggap tanggungjawab yang mereka pikul adalah lebih besar daripada musim sebelumnya," katanya kepada France Football.

"Ia harus berbeza sama sekali.

"Mereka dituntut untuk memberikan sumbangan yang lebih besar, bekerja lebih keras. Mereka bukannya berada di sini untuk memuaskan hati sendiri. Kalau mereka tidak bersetuju, maka pintu sentiasa terbuka, Ciao! (selamat jalan). Saya tidak mahu melihat sebarang tingkah laku selebriti lagi."

Al-Khelaifi mengakui perubahan seperti itu diperlukan di belakang tabir dan gembira dengan pelantikan Leonardo yang menyelia pengambilalihan kelab itu oleh Qatar Sports Investments ketika tempoh pertamanya di kelab itu.

"Saya sedar bahawa perubahan adalah penting. Jika tidak, kami tidak akan pergi ke mana-mana," katanya.

"Dalam masa dua minit sahaja, saya dan Leonardo mencapai persefahaman.

"Segala kuasa sukan akan diserahkan kepadanya, Leo merupakan orang kanan saya.

"Dia individu yang luar biasa, saya mempunyai keyakinan penuh terhadapnya. Gaya semula jadinya akan membawa kebaikan kepada semua pihak, terutama pemain," tambahnya.