Neymar yakin Paris Saint-Germain (PSG) akan menjulang trofi Liga Juara-Juara (UCL) musim ini kerana mempunyai "pasukan hebat" dan "jurulatih pintar", Thomas Tuchel.

Bintang Brazil itu terlepas pertemuan pertama pusingan 16 menentang Manchester United semalam kerana masih dalam rawatan kecederaan metatarsal yang dialaminya bulan lalu.

PSG bagaikan tidak merindui sentuhan Neymar dan penyerang, Edinson Cavani, untuk merakamkan kemenangan 2-0 di Old Trafford yang boleh mencerahkan peluang mereka untuk mara ke suku akhir.

Peneraju Ligue 1 terbabit belum pernah memenangi kejohanan terbesar di Eropah itu di sebalik menerima sokongan kewangan daripada pemilik Qatar Sports Investments tetapi Neymar percaya penantian mereka akan berakhir musim ini.

Pemain berusia 27 tahun itu juga berharap berkesempatan untuk memainkan peranan penting di pentas itu dengan perlawanan akhir akan diadakan di Wanda Metropolitano, Madrid, awal Jun depan.

"PSG akan menjadi juara UCL," katanya dalam satu wawancara dengan Red Bull. "PSG bukan hanya tentang saya -- PSG memiliki pasukan yang hebat dengan pemain yang hebat dan jurulatih genius.

"Selain itu, peminat PSG seperti pemain ke-12 ketika kami beraksi di Paris, saya tidak meragui bahawa kami akan muncul juara dan saya akan beraksi."

Neymar mengakui saat diketepikan akibat kecederaan kaki buat musim kedua berturut-turut adalah situasi yang sukar, namun dia berpendapat kecederaan itu membuatkannya berkembang sebagai pemain.

"Proses rawatan baru bermula," katanya. "Ia akan menjadi perjalanan yang panjang dan saya akan menikmati sedikit kemenangan pada setiap hari. Mujur saya mempunyai golongan profesional yang hebat untuk bekerjasama selain menerima sokongan PSG serta peminat di seluruh dunia.

"Saya telah bermain bola sepak sejak kecil lagi. Ya, sangat sukar untuk berjauhan dengan bola sepak kerana saya terlepas menjalani rutin harian di kelab dan memenuhi keinginan peminat. Pada 2018, saya menghadapi situasi yang serupa dan saya tahu betapa buruknya pengalaman itu.

"Tetapi ia menjadikan saya lebih kuat dan lebih tabah untuk menghadapi cabaran pada kemudian hari."