CAEN 1 PSG 3

Unai Emery memberi jaminan Paris Saint-Germain (PSG) akan menghormati Les Herbiers selepas mereka layak beraksi dalam perlawanan akhir Coupe de France.


Kelab kaya dari ibu negara Perancis yang juga juara bertahan itu akan berupaya memenangi gelaran keempat apabila mereka berdepan skuad liga tahap ketiga, Les Herbiers, di Stade de France, bulan depan.

Les Herbiers mengalahkan kelab besar, Auxerre dan Lens, sebelum mengatasi Chambly dalam separuh akhir sementara PSG menempah tempat final dengan menundukkan Caen 3-1 di Stadium Michel d'Ornano, awal pagi tadi.

"Ini perlawanan akhir, ia adalah gelaran, ia adalah Coupe de France. Jika mereka sampai ke perlawanan akhir, mereka layak mendapatkannya," kata Emery kepada media selepas Kylian Mbappe menjaringkan dua gol dan serangan lewat Christopher Nkunku melengkapkan kemenangan mereka.

"Banyak pasukan yang tidak dapat berada dalam final kerana mereka tidak dapat melakukannya.

"Tahniah kepada mereka (Les Herbiers) kerana mengecap detik bersejarah ini, juga bagi kami. Bermain untuk gelaran di Stade de France ia adalah satu saat yang unik.

"Cara terbaik untuk mendapatkan penghormatan ialah bermain untuk menang," katanya.

Ismael Diomande memadamkan jaringan pembukaan Mbappe tetapi dilayangkan kad merah apabila menjatuhkan Javier Pastore selepas pemain muda itu menjaringkan gol kedua PSG.

Emery berkata: "Tahniah kepada Caen yang bermain baik dan memberikan kami kesukaran selama 90 minit.

"Saya percaya kami menghormati mereka dan Coupe de France kerana kami mahu berada dalam final di Stade de France.

"Pasukan kekal tenang semasa tempoh sukar tetapi saya fikir kami berhak menang," tambahnya.