SEVILLA 2 ATLETICO MADRID 5

Diego Simeone menghamburkan pujian terhadap penjaring hatrik, Antoine Griezmann, dengan mengatakan jika bintang Atletico Madrid itu menyerlah, maka keseluruhan pasukan itu berkembang.


Griezmann cukup berbisa dalam kemenangan 5-2 Atleti di Sevilla dengan mencetak tiga gol dan melorongkan bola kepada gol Koke selepas Diego Costa terlebih dahulu menghukum kesilapan Ever Banega.

Dia merekodkan lapan gol daripada sembilan perlawanan terakhirnya untuk Atleti, tujuh mata di belakang peneraju LaLiga, Barcelona.

Justeru, ketua jurulatih, Simeone, begitu berpuas hati dengan persembahan yang diperagakan pemain Perancis itu.

Bercakap kepada beIN SPORTS, dia berkata: "Antoine sangat bagus.

"Saya berharap dia terus meningkat, disebabkannya kami semua berkembang."

Tambahnya lagi dalam sidang akhbar itu: "Dia dalam tempoh cemerlang. Dia tidak memulakan musim ini di tahap terbaiknya dan jelas pasukan merinduinya.

"Griezmann kembali dalam prestasi hebat."

Atleti bakal berhitung dengan Barcelona pada Ahad depan dalam perlawanan yang boleh menentukan harapan mereka mengintai gelaran LaLiga.

Sebaliknya, Simeone hanya mengalihkan fokusnya kepada pertemuan dengan Leganes, pertengahan minggu ini.

"Kami tidak memikirkan Barcelona," katanya.

"Kami akan berehat dua setengah hari sebelum bertemu Leganes.

"Leganes adalah pasukan yang rumit, sangat kental bertahan. Kami akan mendekatinya dengan tenang."