Jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, mengesahkan Malaysia tidak akan mengambil bahagian dalam saingan pra-Sukan Asia pada 27 April ini.

Hasrat untuk melihat skuad negara beraksi dalam perlawanan ujian membabitkan tiga negara lain, iaitu Korea Utara, Bahrain dan Indonesia, tidak kesampaian.

Kim Swee berkata penarikan diri skuad negara berpunca daripada kegagalan untuk mengumpul pemain ekoran saingan itu bukan di bawah kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

"Keputusan diambil mengambil kira jadual liga yang amat padat. Kami berasa dukacita tetapi keputusan itu demi kebaikan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan kelab yang terbabit," katanya.

Jika perkara itu menjadi punca utama, skuad itu akan berhadapan situasi yang sama dalam Sukan Asia, Ogos nanti, kerana Liga Malaysia berjalan seperti biasa ketika temasya itu berlangsung.

Bagaimanapun, Kim Swee mendapat jaminan daripada persatuan dan kelab untuk bekerjasama memberikan pelepasan kepada pemain terlibat.

"Semua pihak sedia maklum apabila Sukan Asia nanti jadual liga masih berlangsung tetapi seperti yang dibincang dengan pihak kelab, mereka sanggup melepaskan pemain.

"Saya berharap apabila tiba masanya nanti, kami dapat mengumpul semua pemain terbaik," katanya lagi.