Seramai 20 pemain bawah 21 tahun bakal dibawa jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, untuk menghadapi perlawanan ujian Sukan Asia di Jakarta, Indonesia, dari 27 April hingga 6 Mei depan.

Kali ini Kim Swee hanya akan memberi lebih perhatian terhadap barisan pemain B-21 untuk mempertaruhkan aksi dalam pra-Sukan Asia itu.

Meskipun pasukan B-23 yang akan membawa cabaran di pentas sebenar pada Ogos nanti, Kim Swee mempunyai misi berbeza terhadap pemain B-21, iaitu memberi pendedahan awal sebagai persediaan menghadapi kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sesi pemilihan 20 pemain itu akan bermula Ahad ini sehingga 27 Mac depan.

"Kami perlu realistik dalam Sukan Asia di mana semua negara akan beraksi. Selain Indonesia, saya percaya gergasi seperti Jepun dan Korea Selatan akan menampilkan pemain terbaik.

"Pada masa sama, saya mahu membawa seberapa ramai pemain yang boleh, terutama yang berusia 21 tahun," kata Kim Swee ketika ditemui di kediamannya di Subang Jaya, hari ini.

Dalam pada itu, bagi mengingati mendiang bapanya yang meninggal dunia tahun lalu, Kim Swee bersama ahli keluarga hanya menyambut Tahun Baru Cina hari ini secara sederhana.

Namun, ia tetap bermakna untuknya selepas melakar sejarah ke suku akhir dalam Kejohanan AFC B-23 di China, bulan lalu.

"Kemungkinan besar saya akan berlepas (bercuti) ke Madrid di mana saya akan berada di sana selama sebulan.

"Pada tahun ini, kami menyambut Tahun Baru Cina secara sederhana kerana masih lagi dalam 'pantang' selepas kehilangan ayah pada tahun lalu.

"Tahun ini, kami hanya bersama ahli keluarga terdekat dan saya memilih untuk berada di Kuala Lumpur," tambah jurulatih kelahiran Melaka itu.