Pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, berkata Paul Pogba adalah salah seorang pemain tengah menyerang terbaik di dunia susulan persembahan cemerlang yang ditampilkannya dalam kemenangan pusingan kelima Piala FA ke atas Chelsea, awal pagi tadi.

Bintang United, Pogba, menjaringkan satu gol dan membantu satu lagi jaringan untuk dinamakan selaku pemain terbaik perlawanan ketika menewaskan Chelsea 2-0 di tempat lawan.

Dia membuka ruang buat Ander Herrera menyumbat gol pendahuluan sebelum pemain tengah Perancis itu melonjak tinggi untuk menanduk masuk jaringan kedua sebelum rehat.

Pogba, yang dilayangkan kad merah ketika aksi menentang Paris Saint-Germain (PSG) dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah minggu lalu, kini telah melibatkan diri dalam menghasilkan 15 gol sejak Solskjaer menggantikan Jose Mourinho, Disember lalu, menerusi catatan sembilan jaringan dan enam bantuan gol.

"Pogba melalui aksi yang sukar berdepan PSG tetapi dia adalah pemain terbaik," kata Solskjaer.

"Dia sentiasa dikelilingi oleh dua atau tiga pemain. Aksi pagi tadi menunjukkan reaksi yang bagus, terutama apabila berhadapan dengan salah seorang pemain tengah bertahan terbaik dunia, N'Golo Kante.

"Kami tahu dia merupakan antara pemain tengah menyerang terbaik dunia. Dia mempunyai visi dan hantaran lintangnya buat Herrera sangat hebat.

"Cara dia menyambut bola hantaran Marcus Rashford juga sangat memukau."