PERANCIS 4 CROATIA 2

Barisan pemain bintang yang memperkuatkan Perancis tampil menyinar sambil Antoine Griezmann, Paul Pogba dan Kylian Mbappe meletakkan nama dalam senarai penjaring dengan kemenangan 4-2 ke atas Croatia dalam final, sebentar tadi.


Selepas saingan kali ini dipenuhi dengan debaran dan drama, aksi final di Stadium Luzhniki, Moscow itu dimulakan dengan detik jaringan pertama Les Bleus pada minit ke-18 selepas Mario Mandzukic menyumbat gol sendiri, sekali gus menjadi satu kisah yang berlawanan dengan persembahan wira yang dia tampilkan ketika peringkat separuh akhir bertemu England.

Pasukan bimbingan Zlatko Dalic itu memulakan perlawanan dengan lebih banyak menguasai permainan dan menyamakan kedudukan menerusi rembatan kemas Ivan Perisic sebelum pemain Inter Milan itu menghadiahkan sepakan penalti susulan rujukan Video Bantuan Pengadil (VAR) memberikan kesan pertama dalam aksi final Piala Dunia yang menyaksikan bola terkena tangannya.

Griezmann menyempurnakan jaringan keempat peribadinya dalam kejohanan dari jarak 12 ela sebelum Croatia menghadirkan serangan bertali-arus sebaik sahaja saingan separuh masa kedua bermula.

Insiden penyokong daripada kumpulan Pussy Riot memasuki padang pada minit ke-52 tampak menyamai skrip yang berlaku selepas itu apabila Pogba dan Mbappe menyempurnakan rembatan dari luar kotak penalti.

Kesilapan ketika memegang bola daripada penjaga gol Perancis, Hugo Lloris, membolehkan Mandzukic meletakkan namanya dalam senarai penjaring tetapi Didier Deschamps tidak dapat dihalang daripada mencatat sejarah selaku individu ketiga yang memenangi Piala Dunia sebagai pemain dan juga jurulatih.

Deschamps adalah ketua pasukan Les Bleus sewaktu mereka menjulang trofi Piala Dunia pada 1998.

Daripada sepak mula lagi, Perancis menyerap asakan Croatia untuk Les Bleus mendahului pada minit ke-18 apabila Mandzukic tertanduk sepakan percuma Griezmann yang menerjah masuk ke pintu gol sendiri.

Ivan Perisic kemudian menyamakan kedudukan tapi menghadiahkan Griezmann untuk kembali meletakkan Perancis di depan apabila tertampan bola dengan tangannya.

Rujukan VAR mengesahkan ia sepakan penalti dan Griezmann tenang memanfaatkan peluang keemasan itu dengan menghalakan sepakannya ke sebelah kiri penjaga gol, Danijel Subasic, yang menggerakkan badannya ke arah berlawanan.

Seminit sebelum permainan genap waktu sejam, Griezmann cemerlang mengawal bola untuk meluangkan buat Pogba yang menyaksikan rembatan pertamanya tertampan tapi menyambar lantunan itu untuk membenamnya ke penjuru kiri pintu gol lawan.

Mbappe – yang dinamakan Pemain Muda Terbaik Russia 2018 – menambah gol keempat dengan satu lagi penyudahan cemerlang.

Masa masih terluang untuk penjaga gol Perancis, Lloris, menimbulkan sedikit cemas apabila cubaannya menggelecekkan Mandzukic membenarkan penyerang Juventus itu merampas bola lalu menyudahkannya untuk merapat kedudukan 2-4.

Namun, setakat itu saja cerita kebangkitan Croatia yang harus amat berbangga dengan kedudukan naib juara sambil melayakkan Deschamps dan Perancis menakluki pentas tertinggi bola sepak dunia.

Sagu hati buat Croatia ialah kaptennya, Luka Modric, meraih anugerah Bola Emas selaku pemain terbaik kejohanan manakala penyerang England, Harry Kane, memenangi anugerah Kasut Emas dengan enam gol.

Penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois, dinamakan pemenang anugerah Sarung Tangan Emas penjaga gol terbaik kejohanan.