Paul Pogba berkata rakan sepasukannya dalam skuad Perancis, N'Golo Kante dan Blaise Matuidi, memiliki "15 paru-paru" berdasarkan kerja keras mereka di atas padang dalam kempen Piala Dunia Russia ini.

Kante dan Matuidi membawa kesan besar untuk Perancis menewaskan Peru 1-0 malam tadi bagi melepasi halangan Kumpulan C sambil Pogba terlibat dalam gerakan gol kemenangan Kylian Mbappe.

Menurut data Opta, pemain tengah Chelsea, Kante, telah melakukan 27 pintasan sepanjang temasya Russia 2018 -- ia merupakan salah satu pencapaian terbaik Perancis sejak 28 kali pintasan yang dirakamkan Pogba dalam pusingan akhir edisi 2014 di Brazil.

Pogba, yang turut terlibat dalam kedua-dua gerakan gol pasukannya dalam kemenangan pembukaan 2-1 ke atas Australia, 16 Jun lalu, menghamburkan pujian terhadap rakan sepasukannya yang telah bekerja keras.

"Gandingan saya dengan Kante? Sangat mudah apabila beraksi di samping 'NG'," Pogba memberitahu wartawan.

"Dia ada di mana-mana. Dia seperti mempunyai 15 paru-paru.

"Blaise juga mempunyai 15 paru-paru, saya dikelilingi pemain-pemain berbakat," ujarnya.

Sungguhpun sehingga kini Perancis masih belum menyerlahkan persembahan meyakinkan, Pogba menyatakan bahawa mereka sekurang-kurangnya telah mendapat hasil yang diidamkan.

"Kami telah memenangi dua perlawanan setakat ini," katanya. "Anda sudah menyaksikan beberapa pasukan handalan di sini yang tidak berjaya melakukannya."