YOUNG BOYS 0 MANCHESTER UNITED 3

Paul Pogba menjaringkan dua gol buat Manchester United dalam aksi pembukaan Kumpulan H, Liga Juara-Juara (UCL) ketika membantu pasukan menang 3-0 ke atas Young Boys, awal pagi tadi.


Skuad kendalian Jose Mourinho itu bernasib baik tidak ketinggalan dalam perlawanan ketika berdepan juara Switzerland itu tetapi pemenang Piala Dunia, Pogba, membenarkan United mendahului perlawanan pada minit ke-35.

Dia menggandakan jaringan buat United menerusi sepakan penalti sebelum melakukan bantuan jaringan buat Anthony Martial pada minit ke-66, gol pertama buat pemain itu sejak 20 Januari lalu.

Young Boys hampir mendahului selepas lapan minit permainan berlangsung tetapi tandukan Guillaume Hoarau sekadar menghinggapi tiang gol United.

David de Gea bertindak cemerlang menafikan percubaan jarak jauh Mohamed Ali Camara sebelum Marcus Rashford melepaskan rembatan yang turut sekadar mencium palang.

Pogba menjaringkan gol pertama perlawanan 10 minit sebelum tamat separuh masa pertama, menggelecek bola mencari ruang dalam kotak penalti sebelum menewaskan penjaga gol, David von Ballmoos.

Dia kemudian menjaringkan gol kedua pada minit ke-44, menyempurnakan sepakan penalti selepas Kevin Mbabu dihukum kerana menahan bola dengan tangan ketika Luke Shaw melakukan hantaran silang.

Pogba membuktikan dirinya tidak mampu diawasi pemain lawan apabila berjaya mengumpan lorongan kepada Martial untuk menjaringkan gol ketiga Untied.

Pemain gantian, Juan Mata, turut berpeluang untuk mencipta jaringan tetapi percubaannya sekadar melewati palang manakala percubaan Romelu Lukaku dinafikan kerana berada dalam kedudukan ofsaid.