Pemain Manchester United, Paul Pogba, memberi amaran kepada rakan sepasukannya bahawa cabaran lebih getir bakal menanti dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah selepas meraikan kemenangan 3-0 ke atas Young Boys.

United membuka tirai Kumpulan H dengan kemenangan setelah Pogba menjaringkan dua gol sebelum mencipta peluang buat Anthony Martial menghadiahkan gol ketiga United bagi membolehkan skuad kendalian Jose Mourinho itu meraih permulaan meyakinkan.

Young Boys, yang tampil buat kali pertama dalam kejohanan, tampak bergelut setelah melepaskan gol pembukaan daripada Pogba, menyaksikan United meraih kemenangan ketiga berturut-turut di tempat lawan dalam semua pertandingan.

Namun, Pogba sedar bahawa tiga lagi aksi di peringkat Eropah akan menjadi pengukur tahap kemampuan mereka pada musim ini, di mana United bakal berdepan Juventus dua kali selepas menerima kunjungan Valencia di Old Trafford.

"Kami bermula dengan tiga mata dan itu yang paling penting," kata Pogba.

"Kami sedar akan pasukan besar yang bakal kami hadapi selepas ini dan seluruh pasukan akan cuba mendapatkan keputusan yang diingini kerana United beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah dan ia hanya untuk barisan skuad hebat.

"Jelas sekali ia tidak akan mudah tetapi kami harus melepasi halangan peringkat kumpulan."

Jaringan kedua Pogba di Switzerland hadir menerusi sepakan penalti, menyaksikan tonggak Perancis itu melupakan kekecewaan gagal menyempurnakan tendangan ketika aksi bertemu Burnley untuk memberikan kelebihan dua gol buat United sebelum rehat.

"Saya tahu saya terlepas peluang ketika berdepan Burnley tetapi saya memberitahu Mourinho bahawa tidak akan ada kesilapan sama pada kali ini.

"Sama seperti pemain lain, saya memiliki keyakinan dan mereka memberikan saya peluang untuk mengambil sepakan tersebut. Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka dan juga pengurus.

"Apa yang penting adalah menyempurnakan sepakan itu dan ia berlaku. Saya gembira," jelasnya.