Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino, tidak terkejut dengan prestasi memukau Jadon Sancho bersama Borussia Dortmund.

Pemain England itu meninggalkan Manchester City untuk menyertai Dortmund pada 2017 kerana berpendapat lebih mudah untuk menembusi skuad utama di luar Liga Perdana Inggeris (EPL).

Namanya menjadi sebutan selepas membantu England memenangi Kejohanan Piala Dunia Bawah-17 pada tahun yang sama dan sejak itu, dia dilabel sebagai pemain remaja paling berbakat untuk diketengahkan.

Sancho, 18, telah mencetak sembilan gol Bundesliga dengan tujuh golnya hadir menerusi 21 penampilan musim ini untuk menjadi sebahagian daripada rangkaian serangan Dortmund di samping Paco Alcacer dan Marco Reus.

Pemain kelahiran London itu akan bertandang ke kampung halamannya untuk menghadapi Tottenham di Wembley sempena pertemuan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi esok.

Sehubungan itu, Pochettino percaya kejayaan yang ditempa Sancho di Jerman sememangnya sudah dijangka.

"Saya tidak begitu terkejut dengannya kerana saya tahu kemampuannya jika diberi peluang," kata Pochettino kepada pemberita dalam sidang berita pra-perlawanan itu.

"Kami pernah mengatakan bahawa dia adalah pemain yang sangat bagus beberapa tahun lalu. Dia telah membuktikannya di Jerman dan dia sememangnya layak untuk beraksi dalam Bundesliga dan UCL."

Spurs melepasi peringkat kumpulan dengan mengumpul lapan mata di samping Inter, namun mara berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan.

Pochettino mengakui kemaraan ke peringkat kalah mati adalah bonus walaupun bersungguh-sungguh mengatakan Spurs mampu menewaskan mana-mana pasukan.

"Aksi UCL untuk tahun ketiga berturut-turut adalah bonus," katanya. "Kami dapat meneruskan saingan dalam Liga Perdana dan di peringkat 16 UCL, maka ia dianggap bonus.

"Pada awal Disember lalu, saya mengatakan kami adalah pasukan terbaik EPL dan menyanjung tinggi pemain saya. Mereka memberikan yang terbaik dan saya amat berbangga untuk mengendalikan skuad ini."

Tambahnya: "Saya amat percaya kami mampu memenangi setiap perlawanan tetapi kami tahu saingan ini sangat sukar.

"Kami akan menghadapi sebuah pasukan yang sedang mendahului liga Jerman. Demi menghormati pasukan yang bakal dihadapi, kami sentiasa menaruh kepercayaan bahawa kami mampu menewaskan sesiapa sahaja.

"Jika anda jujur dengan diri sendiri terhadap apa yang diusahakan Tottenham dalam beberapa tahun kebelakangan ini, saya fikir anda dapat melihat ia sesuatu yang hebat secara keseluruhannya.

"Kami akan cuba mara lebih jauh lagi pada masa akan datang. Ia pasti merupakan jalan yang sangat berliku."