Mauricio Pochettino menyanjung setiap "wira" Tottenham selepas mereka berjaya mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) dengan mengatasi Manchester City.

Spurs tewas 4-3 di Stadium Etihad awal pagi tadi tetapi dipenuhi dengan drama sistem video bantuan pengadil (VAR).

Fernando Llorente memastikan jaringannya pada minit ke-73 memuktamadkan keputusan seri 4-4 secara agregat, sekali gus membantu Spurs mara ke separuh akhir menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan untuk bertemu Ajax.

Pengadil, Cuneyt Cakir, melihat ulang tayang jaringan Llorente tetapi tidak memutuskan bola terkena tangan pemain tersebut sebelum satu lagi drama yang berlaku pada penghujung permainan.

Raheem Sterling menyangkakan telah menyempurnakan kemenangan menerusi jaringan hatriknya tetapi Cakir menerima maklumat bahawa Sergio Aguero berada dalam kedudukan ofsaid, sekali gus membatalkan jaringan itu.

"Saya sangat gembira di atas kemenangan dalam kejohanan yang sangat penting di dunia," kata Pochettino.

"Saya sangat berbangga dengan setiap individu dalam pasukan ini. Mereka adalah wira Spurs. Selepas apa yang berlaku musim ini, mara ke separuh akhir UCL, mereka harus diberikan pujian.

Pochettino -- yang mengkritik penggunaan VAR -- menjelaskan situasi yang berlaku dalam aksi pertama ketika sepakan penalti diberikan kepada Manchester City harus dinilai menggunakan teknologi tersebut.

"Anda perlu mempercayai VAR walaupun ia tidak menyebelahi anda.

"Keputusan VAR mampu mengubah bola sepak.

"Apa yang berlaku dalam aksi pertama harus dinilai dengan VAR tetapi kami tidak menerimanya."

Pochettino menjangkakan aksi sengit berdepan Ajax yang dibimbing oleh Erik ten Hag dalam separuh akhir nanti.

"Susah untuk menjangka bola sepak dan gaya permainan yang diterapkan Ajax, mereka kerap menyerang dan bermain secara positif.

"Ia akan menjadi perlawanan yang menghiburkan dan saya tidak sabar menantikannya."