OLYMPIACOS 2 TOTTENHAM 2

Mauricio Pochettino mendakwa pemain Tottenham gagal "menghormati perancangan yang diterapkannya" dalam perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) bertemu Olympiacos awal pagi tadi.

Setelah mendahului perlawanan 2-0 dalam tempoh setengah jam aksi di Athens itu, Spurs terpaksa akur seri 2-2 sehingga membolehkan Bayern Munich menguasai puncak Kumpulan B dengan kemenangan 3-0 ke atas Red Star Belgrade.


Harry Kane membuka jaringan dengan sepakan penalti pada minit ke-26 dalam percubaan tepat pertama mereka selain tenggelam dalam perlawanan itu.

Lucas Moura kemudian meledak gol kedua, namun Daniel Podence mengurangkan defisit gol sebelum rehat, disusuli sepakan penalti yang disempurnakan Mathieu Valbuena untuk kelab Greece itu mempamerkan kebangkitan.

Pochettino tidak berpuas hati dengan persembahan anak buahnya sepanjang pertemuan itu sambil berasakan Spurs tidak menunjukkan tahap prestasi yang hampir sama ketika menghasilkan kemenangan 4-0 ke atas Crystal Palace dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), Ahad lalu.

"Saya berasa sangat kecewa. Secara jujurnya, ​​saya tidak gembira dengan prestasi kami dalam babak pertama," katanya.

"Sejak awal-awal lagi, kami mempunyai perancangan. Kami tidak menghormati pelan itu, saya memaklumkannya kepada barisan pemain ketika waktu rehat.

"Kami menjaringkan dua gol tetapi jika berdasarkan prestasi, ia tidak bagus. Kami memberikan mereka mencipta peluang dan gol pertama mereka amat memedihkan. Kami gagal menterjemahkan tahap permainan yang dituntut dalam perlawanan seperti ini.

"Berapa kalikah kami sering tidak dapat menjangka dan bertindak proaktif seperti ketika menentang Crystal Palace? Di peringkat ini, kami perlu mengimbangi (usaha) lawan. Itulah tuntutan pertama."

Spurs, yang akan berkunjung ke Leicester City dalam aksi liga hujung minggu ini, bakal menyambut Bayern dalam perlawanan kedua pada 2 Oktober depan, justeru Pochettino menggesa pemainnya agar bersikap optimis mengenai peningkatan susulan daripada keputusan awal pagi tadi.

"Ini sesuatu yang mengecewakan memandangkan kami tidak bercakap mengenai kualiti, sebaliknya kami bercakap tentang keamatan, keinginan dan gaya agresif," katanya kepada Spurs TV.

"Kami perlu optimis dan positif. Ini hanyalah permulaan.

"Kami hanya memungut satu mata di sini dan kini, kami perlu bersedia untuk pertemuan dengan Leicester, Sabtu ini, dan itu akan menjadi satu lagi perlawanan yang sukar."