TOTTENHAM 3 BORUSSIA DORTMUND 0

Mauricio Pochettino memuji prestasi Tottenham yang mengagumkan dalam babak kedua untuk meletakkan sebelah kaki dalam suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) berikutan kemenangan 3-0 ke atas Borussia Dortmund.


Spurs tidak mempamerkan kualiti terbaik dalam 45 minit pembukaan dalam pertemuan pertama pusingan 16 UCL di Wembley itu tetapi barisan kendalian Pochettino itu bekerja keras selepas rehat untuk mencetuskan inspirasi pesta gol mereka.

Tottenham telah menyumbat 11 gol dalam separuh masa kedua sepanjang kempen UCL musim ini yang menyaksikan Son Heung-min, Jan Vertonghen dan Fernando Llorente mencatat nama selaku penjaring dalam aksi awal pagi tadi.

Pochettino gembira dengan tindak balas skuadnya sambil memberi amaran bahawa mereka masih belum boleh memikirkan peringkat suku akhir lagi.

"Ia merupakan aksi separuh masa kedua yang hebat," kata pengurus Spurs itu kepada BT Sport. "Babak pertama sukar, ia adalah aksi yang sukar sejak dari awal lagi. Kami bergelut untuk mencari posisi terbaik di kedua-dua arah, dengan atau tanpa bola.

"Kami bergelut untuk memperagakan permainan yang diidamkan.

"Selepas rehat, kami memperbaiki beberapa pendekatan dan sejurus mencetak gol, kami mula beroleh keyakinan. Ia adalah satu aksi yang hebat tetapi masih banyak lagi yang perlu dilakukan.

"Kemenangan 3-0 ini adalah keputusan yang baik tetapi kami perlu menyelesaikan tugas ini," katanya.

Spurs mula menemui rentak melalui gol keempat Heung-min dalam kempen UCL musim ini dan dia sependapat bahawa Spurs harus terus berusaha keras untuk menjamin kemaraan.

"Ia belum selesai, kami perlu fokus dalam pertemuan kedua," kata penggempur itu.

"Harry (Kane) atau Dele (Alli) sangat penting buat kami tetapi kami mempunyai pemain yang boleh menggantikan mereka dan melakukannya dengan baik.

"Kami membuktikan bahawa Fernando mampu menggalas tanggungjawab dan menjaringkan gol penting."

Rakan sepasukannya di bahagian pertahanan, Vertonghen, menambah: "Dortmund kelihatan sangat mantap dan beraksi lebih baik tetapi dalam babak kedua, nasib kami berubah.

"Mereka lebih banyak bertahan dan gol awal dalam babak kedua membantu kami. Mereka berpuas hati dengan kedudukan 1-0, oleh itu keyakinan kami semakin meningkat untuk mendapatkan gol kedua dan ketiga."