Jurulatih skuad Kuala Lumpur, Yusri Che Lah, percaya penubuhan Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia (PMOM) mampu menjadikan pengadil di Malaysia lebih bijak dalam mengadili perlawanan.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serius untuk melahirkan pengadil profesional daripada kalangan pengadil tempatan menerusi penubuhan PMOM.

Ia hadir menerusi modul yang digunakan oleh badan bebas pengadil, Professional Game Match Officials Limited (PGMOL) di England, untuk melahirkan lebih ramai pengadil tempatan yang berkualiti tinggi.

Langkah tersebut disambut baik Yusri selaku jurulatih liga tempatan dengan mengharapkan keputusan kontroversi pengadil tidak lagi berlaku dalam kancah Liga Malaysia.

"Pegawai yang bertaraf profesional akan memberikan keputusan yang lebih baik kerana mereka dinilai menerusi perlawanan demi perlawanan. Sebarang kesilapan yang dilakukan akan menggugat kredibliti pengadil profesional itu," kata Yusri.

Pengadil sepenuh masa itu akan dilahirkan pada Julai ini dengan mutu pengadilan mereka diadili dengan bermulanya saingan Liga Malaysia 2019 Jumaat ini.