Jurulatih Timor Leste, Norio Tsukitate, tiada perancangan terperinci melibatkan pasukannya andai keadaan cuaca pada hari perlawanan tidak memihak kepada mereka dalam aksi play-off kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok.

Hujan sejak beberapa hari kebelakangan ini mencetuskan kegusaran pengendali dari Jepun itu.

Dia mengharapkan cuaca mampu memihak kepada pasukannya pada hari perlawanan dan sekiranya hujan, hal itu sudah pasti mengganggu persediaan keseluruhan pasukannya.

"Kalau hujan lebat, saya belum pasti lagi.

"Mungkin saya perlu berpesan kepada anak buah supaya jangan lupakan 'sabun dan syampu'," selorohnya dalam sidang media pra-perlawanan sebentar tadi.

Tsukitate sempat menyaksikan aksi persahabatan di antara Malaysia dan Nepal, Ahad lalu, justeru mengakui anak buahnya perlu bekerja keras.

"Saya menonton perlawanan di antara Malaysia dan Nepal.

"Corak permainan Malaysia sangat tersusun dan hampir mendominasi 90 peratus perlawanan.

"Namun, Nepal juga menghadirkan ancaman dan mencipta peluang untuk menjaringkan gol.

"Saya berasakan ia satu situasi sulit buat Malaysia ketika itu tetapi Malaysia bersikap tenang sebelum meraih gol melalui sepakan penalti dan sepakan percuma," tambahnya.

Bagaimanapun, jurulatih yang mula mengemudi Timor Leste sejak tahun lalu itu tidak menafikan perancangan utama menjelang aksi penting itu adalah corak permainan pantas yang menjadi taruhan.

"Saya sudah berpesan kepada anak buah supaya kerap menyerang dan melakukan larian ke belakang pertahanan lawan.

"Kami perlu memikirkan soal serangan sambil kembali ke posisi apabila diasak," tambahnya.