Pemain tengah negara, Faiz Nassir, bimbang pujian keterlaluan terhadapnya menjadi puncanya leka.

Dia tidak mahu hal itu merosakkan reputasinya bersama skuad kebangsaan setakat ini.

Jaringan Faiz mendapat perhatian banyak pihak sehingga ada yang mengangkatnya sebagai jaringan terbaik dalam pertemuan pertama play-off kelayakan Piala Dunia Qatar 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Gembira dapat membantu skuad negara menundukkan Timor Leste 7-1 dalam perlawanan tersebut, pemain Selangor kelahiran Kelantan itu kurang selesa dengan perhatian yang keterlaluan terhadapnya.

"Saya tidak mahu terlalu selesa dengan pujian.

"Yang penting, apabila diberi peluang beraksi, saya akan cuba menyumbat gol.

"Saya akan terus memberikan aksi terbaik jika diberi peluang lagi," katanya.

Menurutnya lagi, bukan mudah buat pemain yang memiliki fizikal kecil sepertinya mendapat tempat dalam skuad negara sambil meletakkan sasaran untuk merebut kesebelasan terbaik.

Faiz bimbang sekiranya dia termakan pujian yang diberi sedangkan perjalanannya bersama skuad Harimau Malaya masih jauh untuk dibanggakan.

"Saya semakin selesa dalam pasukan manakala semua pemain menunjukkan kesungguhan untuk beraksi.

"Semua pemain mahu beraksi tetapi semua usaha itu dinilai dalam latihan," katanya lagi.

Bagaimanapun, tiada siapa yang dapat mengubah hakikat dalam dua penampilan di pentas antarabangsa, dia cemerlang mencipta fenomena menerusi dua jaringan cantik barisan kendalian Tan Cheng Hoe itu.