Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, sedia mengambil risiko dengan menurunkan barisan kedua dalam aksi timbal balik menentang Timor Leste, Selasa ini apabila pasukannya sudah sebelah kaki ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022/Piala Asia China 2023.

Skuad negara tampil cemerlang dalam aksi pertama play-off kelayakan selepas melakar kemenangan besar 7-1 ke atas pelawat di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.

Realistiknya, lawan sukar untuk bangkit bagi menidakkan peluang Harimau Malaya untuk melangkah ke pusingan seterusnya yang akan membabitkan 40 pasukan terbaik Asia.

Situasi itu membuka peluang kepada pengendali negara berkenaan untuk membuat percaturan berbeza menjelang aksi kedua dengan mempertaruhkan pemain-pemain baru.

"Semua pemain ingin beraksi dalam perlawanan seterusnya walaupun tidak terbabit dalam dua perlawanan terdahulu.

"Setiap pemain perlu bersiap-sedia apabila saya mahu membuat pertukaran," katanya.

Empat pemain masih belum mendapat peluang untuk beraksi bagi tugasan skuad kebangsaan kali ini, termasuk membabitkan aksi pemanas badan berdepan Nepal, iaitu penjaga gol, Ifwat Akmal Che Kassim, Zharif Irfan Hashimuddin, Irfan Zakaria dan D. Kenny Pallraj.

Lantas, aksi kedua berdepan Timor Leste di venue serupa tampak menjadi peluang terbaik buat Cheng Hoe menguji pemain terbabit di setiap posisi masing-masing.

"Lihatlah dalam tempoh 1-2 hari ini, kalau ada pemain berasa keletihan, saya akan menurunkan pemain yang segar," katanya lagi.

Skuad negara menjalani latihan tanpa Syazwan Zainon hari ini ekoran kecederaan buku lali sambil Syafiq Ahmad sudah dilepaskan daripada pasukan susulan kecederaan ligamen lutut.

Sementara itu, penyerang negara, Shahrel Fikri Md Fauzi, bertekad membarisi kesebelasan utama setelah dua kali bermula di bangku pemain simpanan.

"Semua pemain mahu diberi peluang untuk beraksi.

"Kalau diturunkan, ia satu penghargaan buat saya ditempatkan dalam kesebelasan utama dan saya berharap dapat menghasilkan aksi terbaik," katanya.

Tambahnya, satu gol yang disumbangkannya dalam pertemuan pertama ke atas Timor Leste merangsang motivasinya untuk memburu lebih banyak gol lagi.

"Skuad ini memiliki barisan pemain yang lebih baik daripada skuad sebelum ini, jadi saya mahu berikan aksi terbaik," jelasnya.