PKNP FC mengambil peluang daripada 'cuti rehat' kancah bolasepak tempatan apabila terus memperkuatkan pasukan bagi menghadapi pusingan kedua liga yang lebih mencabar selain terlibat di dalam saingan Piala Malaysia.

Justeru, PKNP juga akan terbang ke Korea Selatan hujung minggu ini dengan mengadakan perlawanan persahabatan dengan dengan dua kelab, iaitu Gyeognam FC dan Changwon FC.

"Ini juga sebagai persediaan memantapkan kesemua pemain memandangkan jadual perlawanan akan lebih padat. Bulan Julai sahaja, ada lapan perlawanan (Liga Perdana dan Piala Malaysia).

"Oleh itu, semua perlu bersedia dan diharap pemain dapat memanfaatkan peluang di sana (Korea) bagi memperbaiki mutu permainan," kata jurulatihnya, Abu Bakar Fadzim.

Di samping itu, PKNP juga telah melengkapkan kuota pemain import apabila menyambar pemain dari Korea Selatan, Kim Hyun Woo, bagi kuota Asia.

"Penyerang, Hyun Woo, akan bergandingan dengan pemain import sedia ada, iaitu Vincent Weiji, Gilberto Valdenesio dan Ritus Krjauklis," tambahnya.

PKNP turut dibantu pemain pinjaman berpengalaman, Hafiz Ramdan dan Mohd Raffi Nagoorgani dari pasukan Liga Super Perak.

"Saya yakin PKNP mampu mencipta sesuatu," kata Abu Bakar lagi.

PKNP akan memulakan kempen liga 30 Jun ini bertemu UiTM FC.