Penyerang Bosnia-Herzegovina, Edin Dzeko, mencatatkan kadar jaringan dalam perlawanan yang lebih baik berbanding Cristiano Ronaldo serta Lionel Messi di peringkat antarabangsa dan rakan sepasukannya, Miralem Pjanic, menegaskan nilai sebenar penggempur AS Roma itu buat negaranya menjelang penampilan ke-95.

Dzeko, yang merupakan kapten Bosnia-Herzegovina, bakal menggantikan tempat Emir Spahic untuk meraih penampilan tertinggi buat negaranya jika dia tampil beraksi dalam pertemuan Liga Negara-Negara UEFA berdepan Austria awal pagi esok.

Pemain berusia 32 tahun itu menjaringkan 52 gol hasil daripada 94 penampilan bersama negaranya, sekali gus merakamkan rekod yang lebih baik berbanding Ronaldo di Portugal dan Messi di Argentina.

Dia muncul selaku pemain pertama yang menjaringkan sekurang-kurangnya 50 gol dalam tiga daripada lima liga terbaik Eropah awal tahun ini selepas mempamerkan aksi hebat bersama Wolfsburg, Manchester City dan Roma walaupun dia tidak mengejar pujian seperti yang diraih oleh sesetengah penggempur lain di Eropah.

Bagaimanapun, pemain tengah Juventus, Pjanic, yang beraksi bersama Dzeko ketika di Roma, menegaskan bahawa penyerang itu menerima penghormatan penuh di tanah airnya.

"Saya tidak rasa dia dipandang rendah. Dzeko melakukan tugas dengan hebat kebelakangan ini," kata Pjanic.

"Buat skuad kebangsaan, dia adalah pemain yang menjaringkan gol paling banyak. Kami sedar bahawa dia sangat penting.

"Dzeko melakukan perkara yang sangat penting buat kelabnya. Bagi saya, dia seorang pemain yang hebat, jadi dia tidak dipandang rendah."