Kelab Liga FAM, Petaling Jaya Rangers (PJ Rangers) muncul pasukan terawal menyiapkan pasukan bagi menghadapi musim 2018 apabila selesai menandatangani 25 pemain dengan misi utama memburu slot Liga Perdana 2019.

Antara pemain yang hadir dengan reputasi besar ke PJ Rangers adalah penjaga gol Kedah, Mohd. Farhan Abu Bakar, dan bekas penyerang bawah 22 tahun, Mohd Arif Mohd Anuar.

Menggunakan purata umur pemain secara keseluruhan berusia 25 tahun, PJ Rangers boleh dianggap antara pasukan paling muda dalam saingan Liga Malaysia.

Sebelum ini, PJ Rangers sudah menandatangani tiga bakat muda Sarawak, iaitu Tommy Mawat Bada, Shreen Tambi dan Nur Shamie Iszuan.

“Soal turun taraf bukan sesuatu yang penting bagi saya. Saya hanya mahu mengembalikan permainan dan yakin mampu menemui sentuhan semula di sini,” kata Farhan.

“Posisi penyerang sangat sesuai dalam Piala FAM kerana tiada tenaga import, jadi peluang untuk bermain lebih besar,” kata Arif.

Dalam masa sama, anak kepada jurulatih berpengalaman negara, B. Sathianathan, Visnu Ruban Nair, yang sebelum ini beraksi sebagai penjaga gol bersama Felcra FC, turut disenaraikan.

“Ibu saya adalah bekas penyerang kebangsaan, begitu juga ayah saya yang bermain di bahagian tengah. Bagi saya, penjaga gol adalah sesuatu yang berbeza.

“Saya menyahut cabaran untuk mengikut jejak langkah penjaga gol India sebelum ini seperti V. Murugan dan R. Arumugam,” ujar Ruban.