Kelab Bolasepak PJ Rangers kini mula memberikan sokongan kepada program pembangunan akar umbi dengan menjalin kerjasama dengan kelab Liga J, Cerezo Osaka.

Program impian menjadi kenyataan PJ Rangers dan Cerezo Osaka ASEAN 2018 berlangsung di Stadium Petaling Jaya hari ini dan membabitkan 120 pemain B-15 tahun dari kelab remaja di sekitar Petaling Jaya.

Seramai lima pemain akan dipilih untuk bersama-sama 10 lagi pemain remaja dari Vietnam dan Thailand yang akan berpeluang menjalani latihan serta beraksi dalam perlawanan persahabatan dengan skuad remaja B-15 tahun Cerezo Osaka, Ogos depan.

Menurut Timbalan Presiden PJ Rangers, Simon Lim, program itu bertujuan mencungkil bakat muda serta memberi mereka peluang merasai sendiri kaedah latihan dengan Cerezo.

"Kami mahu membangunkan program akar umbi dan melahirkan pemain-pemain yang berkualiti pada masa akan datang untuk Malaysia," katanya.

Meskipun tiada jaminan Cerezo akan menawarkan kontrak kepada pemain, namun Simon menegaskan ia tetap satu kemungkinan.

"Pengalaman berlatih di Osaka perlu digunakan sebaik mungkin bagi mendapatkan pengalaman untuk meningkat naik," tambahnya.