Gerard Pique mahu Barcelona tidak terganggu dengan kontroversi media sosial dan kekal fokus menjelang pertemuan dengan Napoli.

Kelab itu pada awal bulan ini menafikan tuduhan syarikat radio Sepanyol, Cadena SER, yang mendakwa mereka melantik satu syarikat untuk mencalarkan imej beberapa individu yang berkaitan dengan kelab itu dengan menyebarkan mesej negatif menerusi platform media sosial.

Namun, Pique mahu memastikan pasukannya tidak hilang fokus menjelang perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah di Naples awal pagi esok.

"Kami hanya mencuba untuk fokus kepada tugas kami bersama kelab ini. Beberapa tahun ini, apa yang berlaku di atas padang amat luar biasa," katanya dalam sidang media.

"Cuma keputusannya tidak memihak keseluruhan kelab ini, jadi kami sedar kepentingannya (untuk mendapatkan keputusan yang baik).

"Tanggungjawab kami sebagai pemain Barcelona adalah untuk meneruskan kemenangan di atas padang.

"Jika tidak, kami akan bermasalah," katanya.


Di sebalik kontroversi di luar padang, Barca masih berkelebihan dua mata di puncak LaLiga dan akan turun menentang Napoli sebagai pasukan pilihan.

Tetapi Pique memberikan amaran buat pasukannya bahawa kelab gergasi Serie A itu berkebolehan untuk melakarkan kejutan dalam penentuan itu.

"Ia merupakan kali pertama Barca berkunjung untuk beraksi di stadium bersejarah ini.

"Pemain bola sepak mahukan pengalaman baru, jadi berkunjung ke sini merupakan salah satu daripadanya.

"Berkenaan Napoli, mereka sudah banyak meningkat.

"Mereka tidak bermula baik musim ini tetapi sudah banyak meningkat.

"Ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar.

"Mereka sudah menewaskan Juventus dan menewaskan Liverpool di peringkat kumpulan.

"Mereka meningkatkan tahap mereka ketika berdepan pasukan besar.

"Jadi, kami perlu menumpukan perhatian untuk mengelakkan sebarang kejutan," katanya.