Pertahanan Barcelona, Gerard Pique, berkata dia memahami keputusan Neymar untuk menyertai Paris Saint-Germain (PSG) walaupun perpindahan itu melukakan hati gergasi LaLiga itu.

Neymar membuat kejutan dengan meninggalkan Barca pada Ogos lalu untuk menyertai PSG dengan perpindahan termahal dunia, EURO 222 juta (RM1.1 bilion).

Ketika bintang Brazil itu mempamerkan persembahan cemerlang di Perancis, Barca turut berada pada prestasi terbaik, masih belum tewas serta mendahului saingan LaLiga.

Pique berpendapat dia memahami keputusan Neymar menyertai PSG walaupun ia seperti menghukum Barca.

"Anda telah memberikan yang terbaik dan telah menghasilkan hubungan yang baik bersama rakan sepasukan," kata Pique.

"Walaupun ia menyakitkan kelab ketika dia berhijrah, sebagai seorang kawan, saya memahami keputusannya untuk menyertai PSG."

Pique percaya sebahagian daripada sebab Neymar berhijrah adalah keinginannya untuk meraih Ballon d'Or, anugerah yang dimenangi oleh Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo sejak 10 tahun lalu.

"Sukar untuk mencari pemain yang mahu kekal bersama satu kelab.

"Mereka memerlukan motivasi. Kami perlu berjuang untuk meraih sesuatu. Saya memahami Neymar mahu memenangi Ballon d'Or, jadi saya berpendapat adalah adil buat dirinya menyertai PSG.

"Jika dia beraksi cemerlang dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) dan Ligue 1, dia berkemungkinan memenangi Ballon d'Or," tambahnya.