Pengurus AC Milan, Stefano Pioli, percaya pemainnya mula menerima falsafah bola sepak yang diterapkannya tetapi enggan terlalu yakin dengan harapan untuk mengesahkan slot ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Awal pagi tadi, The Rossoneri naik ke tangga kelapan Serie A selepas menewaskan Torino 1-0 hasil jaringan babak pertama Ante Rebic.

Ia memastikan Milan masih belum tewas dalam sembilan aksi berturut-turut di laman sendiri bagi semua kejohanan buat kali pertama sejak Januari 2017.

Pioli, 54, sentiasa berdepan persoalan mengenai statusnya selaku pengurus sejak menggantikan Marco Giampaolo, pada Oktober lalu.

"Saya gembira dengan prestasi dan keputusan setakat ini. Kami sedang mencipta identiti dan semakin mantap di atas padang," katanya.

"Masih ada 14 perlawanan untuk memperbaiki kedudukan kami. Kami sentiasa menjadi perhatian tetapi itu normal dan bagus dalam beberapa aspek.

"Anda tidak boleh fikirkan tentang masa depan [kerana] masih banyak perkara perlu dilakukan. Masa depan akan ditentukan di penghujung musim nanti.

"Saya menuntut usaha yang penting. Kami juga bergelut kerana diri sendiri. Kami mampu menamatkan aksi dalam babak kedua dengan lebih cepat.

"Saya berpuas hati dengan prestasi pasukan kebelakangan ini tetapi ia masih boleh diperbaiki."



Bagaimanapun, Pioli menolak kemungkinan peluang mereka untuk kekal bersaing bagi memastikan slot ke Liga Juara-Juara.

Milan masih ketinggalan 10 mata di belakang Atalanta, yang menduduki tangga keempat selepas 24 perlawanan sambil Pioli tidak mahu meletakkan jangkaan yang terlalu tinggi.

"Bolehkah kami impikan Liga Juara-Juara? Kami hanya boleh persiapkan diri untuk aksi seterusnya, lima hari lagi," tambah pengurus itu.

"Selepas aksi sukar menentang Fiorentina, baru kami akan fikirkan tentang kedudukan liga.

"Kemenangan dan usaha tampak positif. Kami patut tamatkan perlawanan [menentang Torino] lebih awal.

"Zlatan Ibrahimovic marah kerana dia mahu menamatkan perlawanan tetapi kami melepaskan beberapa peluang sehingga terpaksa bergelut sebelum tamat."


Editor: Nafis Abdullah