Piala Tun Sharifah Rodziah 2019: Melaka muncul juara

Oleh Staff Writer 14 Julai 2019 989
Piala Tun Sharifah Rodziah 2019: Melaka muncul juara
KEDAH 0 MELAKA 0
(Melaka menang penentuan penalti 3-1)

Melaka terpaksa menunggu hingga penentuan sepakan penalti untuk melakar kejuaraan Piala Tun Sharifah Rodziah 2019 selepas seri tanpa jaringan sehingga tamat 120 minit waktu permainan di Stadium UiTM Shah Alam, malam ini.


Terdahulu, Kedah mengesahkan slot ke final ketiga berturut-turut selepas menundukkan Selangor 3-1 sementara Melaka tampil selepas mudah membelasah PDRM 5-1 untuk kedua-dua pasukan yang mengungguli saingan peringkat kumpulan bertemu dalam ulangan final edisi lalu.

Melaka turun dengan misi membalas dendam selepas terlepas kejuaraan tahun lalu, dengan beberapa percubaan daripada Haindee Mosroh hampir meletakkan mereka di hadapan.

Aksi kurang menyengat kedua-dua pasukan berlarutan hingga ke 10 minit waktu biasa apabila pemain kebangsaan, Dadree Rofinus, akhirnya berjaya meletakkan Kedah mendahului, namun pengadil membatalkan jaringan tersebut kerana ofsaid. Tiada jaringan berjaya dihasilkan bermakna perlawanan diheret ke masa tambahan.

Aksi seimbang kedua-dua pasukan gagal menterjemahkan peluang dalam bentuk jaringan, sekali gus membawa saingan ke penentuan penalti.

Penjaga gawang Melaka, Nurul Azurin Mazlan, menjadi individu penting apabila menyelamatkan dua sepakan penalti Kedah sebelum Meizora Mukul menoktahkan kemenangan 3-1 dalam penentuan penalti itu.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen